
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berdepan ombak besar mencecah 4.5 meter dengan kelajuan angin 50-60 kilometer sejam ketika menunda bot Vietnam yang menangkap ikan secara haram di perairan negara.
Pengarah Maritim Kelanrtan, Kepten Maritim, Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, dalam perjalanan membawa balik kedua-dua bot itu pihaknya terpaksa menghadapi pelbagai halangan.
“Keadaan itu menyebabkan kami tidak dapat memasuki jeti dengan kadar segera termasuk faktor air surut dan perlu menunggu kedalaman sesuai sebelum memasuki jeti jam 4 petang,” katanya pada kenyataan media di sini semalam.
Menurutnya APMM merampas hasil tangkapan ikan dan peralatan termasuk dua bot nelayan Vietnam bernilai RM1.2 juta kerana menceroboh hasil laut di perairan negara.
Turut ditahan 12 nelayan (krew) termasuk tekong masing-masing berumur 22 hingga 53 tahun pada jarak 65 dan 67 batu nautika dari muara Tok Bali jam 5.40 dan 6.05 petang.
Kata beliau pemeriksaan ke atas bot pertama mendapati 10 krew manakala bot kedua dikendalikan dua krew.
“Tangkapan kali ini juga melibatkan ikan pelbagai jenis sebanyak 1.3 tan serta bekalan minyak diesel sebanyak 7,300 liter,” katanya.
Kata beliau kedua-dua bot berkenaan ditunda ke Ibu Pejabat APMM Tok Bali untuk siasatan di bawah Akta Perikanan 1985, di mana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta 1985 menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap krew.
Muhd Nur Syam juga berkata, pihaknya akan terus mengawal perairan negara daripada pencerobohan dari luar walaupun terpaksa mengadapai pelbagai bahaya dan keadaan laut yang tidak menentu. – HARAKAHDAILY 24/5/2021











