Isu Sugarbook: Ambil berat suara mahasiswa Islam

Foto daripada Facebook Ustaz Marzuk Shaary.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kita ambil berat suara mahasiswa Islam, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ustaz Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Apatah lagi, katanya merekalah yang paling mengenali dan selalu terkehadapan dalam isu-isu sosial dan kebajikan melibatkan mahasiswa.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan mahasiswa daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang diketuai oleh Mohd Izzuddin Aziz selaku timbalan presiden kerana berusaha untuk hadir ke pejabatnya.

Dalam pertemuan tersebut, ujarnya mereka telah menyerahkan satu kertas kerja penuh mengenai cadangan solusi isu Sugarbook.

- Advertisement -

“Untuk makluman, kita telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Tindakan Khas Menangani Masalah Sosial Mahasiswa kali kedua pada 9 Mac yang lepas,” jelasnya dalam satu hantara di Facebook beliau malam ini.

Menurutnya, pada masa ini, lebih 500 program intervensi yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak  universiti bagi menangani isu moral mahasiswa.

Tambah beliau, tinggal lagi jawatankuasa itu akan menyemak kembali impak program-program yang telah diadakan dan akan menyiapkan pelan cadangan program intervensi yang lebih menyeluruh kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Beliau berkata, pelan itu akan dirangka bagi tempoh jangka masa pendek dan jangka masa panjang serta akan melibatkan pelan merentas kementerian.

“Sememangnya, budaya Sugardating adalah satu masalah sosial yang perlu dibendung kerana ia melibatkan pergaulan yang tidak bermoral antara lelaki dan wanita, yang boleh menjurus kepada hubungan seksual luar nikah serta melibatkan pertukaran maruah dengan keuntungan berbentuk wang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.

Justeru, katanya jika ada mahasiswa yang membaca makluman itu menerusi laman Facebooknya, kongsikan juga idea dan cadangan di ruangan komen untuk dipertimbangkan pihaknya.

“Kita memerlukan lebih banyak maklum balas agar perancangan dan dan solusi yang ingin diketengahkan tepat dan sesuai dengan sasaran. Insya-Allah,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 18/3/2021

- Advertisement -