
IPOH: PAS bertegas dengan pendirian mempertahankan Muafakat Nasional (MN) dan memperkukuh Perikatan Nasional (PN) demi mencapai matlamat utama iaitu menyatupadukan parti Melayu dan umat Islam khususnya.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, keutamaan dan harapan PAS kini hanyalah mencapai kestabilan politik dalam kalangan parti-parti Melayu dan ia seharusnya menjadi suatu agenda yang didokong oleh semua pihak.
Serunya, semua pihak khususnya ahli politik hendaklah memahami kepentingan penyatuan parti-parti Melayu yang cuba dipertahankan PAS kini bagi memberi impak yang baik kepada politik negara dan kesejahteraan kepada rakyat.
Jelas Razman, kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno, Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa PAS tidak boleh berkempen untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di mana-mana kawasan yang bertembung dengan calon Umno dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang itu tidak boleh diambil kira.
Hal demikian kerana terangnya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, PAS tidak mengambil kira kenyataan-kenyataan seperti itu kerana ia hanyalah bersifat peribadi dan ia bukan mewakili parti Umno secara keseluruhannya.
“Kita telah lalui pelbagai krisis negara sebelum ini di mana apabila diteliti, ia berpunca daripada perpecahan parti-parti Melayu. Kita tidak mahu mudarat yang lebih besar timbul. Sebab itu PAS komited (mahu) mempertahankan PN.
“Pendirian PAS amat jelas dari dahulu hingga sekarang. Di mana sahaja ada peluang (untuk) menyatukan ummah dan menjaga kepentingan Islam (maka) PAS akan sedia untuk bekerjasama dan mempertahankan penyatuan itu.
“Nasihat saya, usah menimbulkan sebarang kenyataan bersifat peribadi. Apa-apa keputusan biarlah ditentukan oleh pimpinan pusat. Buat masa ini, semua pihak perlu fokus kepada agenda yang lebih besar (iaitu) menjaga kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat,” ujar Razman. – HARAKAHDAILY 11/3/2021











