
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas ke atas kebiadaban bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang menghina pemimpin-pemimpin negara melalui buku memoir terbitannya, My Story: Justice in the Wilderness.
Pengerusi Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI), Ustaz Roslan Md Esa berkata, kerajaan perlu memandang serius terhadap isu itu dengan mengambil tindakan sewajarnya agar dapat memberi pengajaran kepada yang lain.
Katanya, badan-badan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di seluruh negara.
“Laporan polis telah pun dilakukan semalam dan saya difahamkan ada beberapa NGO antaranya Gerakan Pembela Ummah Negeri-Negeri (UMMAH) akan membuat laporan terhadap isu itu.
“Apa yang saya boleh katakan, rakyat tak boleh menerima pendekatan yang diambil oleh mereka (Pakatan Harapan) ini yang seakan-akan bermusuh dengan kepimpinan negara dan pelbagai kritikan terhadap entiti tertinggi negara,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Pendedahan yang dilakukan itu juga termasuklah tindakan mendedahkan konflik politik ketika Februari 2021 yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong sebagai kegagalan beliau sebagai Peguam Negara.
Katanya, naratif yang dibawanya pada suatu ketika dahulu tidak mengangkat martabat para pemimpin negara serta menghina institusi Peguam Negara.
“Saya yakin dan percaya rakyat dan masyarakat pada hari ini lebih tentang dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) walaupun sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan rakyat seharusnya memberikan sokongan yang terbaik untuk kerajaan sedia ada,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/2/2021











