GEORGE TOWN: Ketagihan rokok elektronik atau vape sudah menjadi serius dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja di mana kesannya boleh mengundang pelbagai masalah lain sama ada sosial mahupun kesihatan.
Mohamad Shukor Zakariah (PN-Pulau Betong) menegaskan perkara itu pada ucapan perbahasannya sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Jelasnya, sehingga September 2024, seramai 8,000 pelajar sekolah didapati ketagihan vape dan 2,000 daripadanya adalah pelajar wanita melibatkan di lima buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
“Statistik dikeluarkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bermula 2021-2023, dilakukan terhadap 15,000 pelajar sekolah di lima negeri tersebut, mendapati 4,000 pelajar sekolah rendah turut terjebak. Gejala ini amat membimbangkan kerana vape mudah diperolehi di kedai-kedai runcit.
“Oleh itu saya menyambut baik sekiranya Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempertimbangkan cadangan melarang penjualan vape di semua premis di negeri ini, sebagaimana tindakan yang telah dibuat oleh Johor, Terengganu, Kelantan dan Perlis,” tegasnya.
Menurutnya lagi, berdasarkan kajian perubatan, sejenis penyakit akan menyerang kepada penghisap vape iaitu penyakit Evali di mana gejalanya seperti sesak nafas, batuk, sakit dada, demam menggigil, mual atau muntah dan kelelahan.
Sementara untuk kos rawatan penyakit itu jelasnya, dianggarkan mencecah RM150,000 bagi sepanjang rawatan di wad selama 12 hari,
“Dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, ayat 195, ada menyebut, ‘Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan’, Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia 2023 telah mengeluarkan fatwa bahawa penggunaan vape adalah haram kerana mudarat yang telah dibuktikan oleh kajian saintifik,” tegasnya lagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong itu turut menyentuh berkenaan kejadian yang berlaku kepada seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun, didapati meninggal dunia akibat komplikasi jantung akut dengan embolisme pulmonari, 2023 lalu.
Kejadian serupa berlaku ujarnya, kepada seorang lelaki berumur 44 tahun di Johor Bharu, Mei lalu akibat komplikasi sama, tetapi uniknya lelaki tersebut sempat menasihati orang ramai agar berhenti menghisap vape, melalui video berdurasi enam minit dimuat naik ke TikTok, sebelum meninggal dunia.
“Oleh itu adalah baik Pulau Pinang mengambil langkah mengharamkan penjualan vape di semua premis di negeri ini, kerana vape ini terlalu memudaratkan,” tegasnya lagi.
Dalam pada itu Mohamad Shukor turut membangkitkan rungutan nelayan di Pulau Betong dan Balik Puau berikutan perlombongan pasir di dasar laut di kawasan perairan pelantar Benua Malaysia Pulau Pinang, seluas 32.45 kilometer persegi untuk tambakan di Pulau Silikon
“Sekarang ini semua nelayan datang ke Balik Pulau termasuk juga nelayan dari Teluk Kumbar untuk menangkap ikan dan udang. Oleh itu kita mendesak agar kerajaan negeri mengkaji semula projek itu dan mencari alternatif lain yang bukan di lubuk emas para nelayan kerana di kawasan itu terdapat banyak ikan dan udang.
“Kita sangat mengharapkan Ketua Perunding EIA, Wazfarina Abdul Wahid, daripada Syarikat Es Eco Smart Sdn Bhd melaksanakan kaji selidik untuk tujuan penyediaan laporan penilaian kesan alam sekeliling bagi projek ini.
“EIA juga perlu membuat kajian impak alam sekitar sebelum meluluskan sebarang projek perlombongan pasir untuk menilai kesan terhadap ekosistem dan komuniti tempatan,” tegas beliau lagi.
Penggalian sumber mineral itu juga katanya, akan menyebabkan wujudnya kawah besar di dasar laut selain menjejaskan kawasan terumbu karang yang menjadi tempat pembiakan ikan, malah paling membimbangkan akan mengakibatkan spesis ikan terus pupus.
Mengulas lanjut, beliau mengajak anggota sidang merujuk laporan disiarkan media tempatan bertarikh 3 Julai 2019 yang melaporkan gesaan Pengerusi Nelayan Negeri Perak, Mansor Yusuf bersama 9,000 nelayan Perak terhadap Kerajaan Pusat.
Mereka meminta campur tangan serta mengkaji semula kebenaran aktiviti perlombongan pasir membabitkan kawasan persisiran pantai Perak Utara bagi digunakan untuk Projek Tambakan Laut perairan Selatan Pulau Pinang.
Beliau pada kenyataan itu, mendesak agar perkara mendapat pertimbangan sewajarnya kerana ia bukan sahaja menjejaskan mata pencarian 9,000 nelayan, bahkan akan mengundang ancaman tsunami dan hakisan teruk di persisir pantai.
“Perkara yang sama juga perlu diambil perhatian oleh Kerajaan Pulau Pinang kerana kesan kepada korekan pasir ini akan mencemarkan air laut, merosakkan habitat marin dan menjejaskan hasil tangkapan ikan dan semua hasil laut para nelayan.
“Tempat nelayan mencari rezeki yang dikatakan lubuk emas setakat ini akan terancam dan musnah sama sekali,” tegas Mohamad Shukor lagi.
Dalam pada itu, beliau juga menarik perhatian dewan agar masalah yang menghantui peniaga di gerai-gerai Astaka Pangsapuri Rimbun, diambil perhatian kerajaan negeri.
Para peniaga berkenaan, katanya, merungut kerana hasil jualan merosot terutama pada hari hujan dan mengharapkan Majlis Bandaraya Pulau Pulau (MBPP) menyediakan ‘awning’ di gerai tersebut untuk mengelak tempias kepada pelanggan yang sedang menjamu selera di situ. – HARAKAHDAILY 20/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!