ADUN PAS komited pacu potensi Selangor

- Advertisement -

SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor merupakan satu peluang bagi memperkukuhkan komitmen ADUN-ADUN PAS dalam usaha-usaha pembangunan negeri tersebut.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad mengucapkan selamat bersidang kepada ADUN-ADUN Negeri PAS Selangor.

“Ini merupakan peluang untuk memperkukuhkan lagi komitmen PAS terhadap usaha-usaha membangunkan negeri yang bertuah ini serta mencari solusi yang efektif untuk menyelesaikan pelbagai isu rakyat di negeri Selangor,” katanya.

Menurut beliau, Selangor merupakan negeri yang kaya dengan potensi kerana mempunyai kedudukan strategik sebagai nadi ekonomi negara, katanya dalam akaun media sosial Facebook PAS Selangor,

Tambah beliau, infrastruktur menyeluruh, jaringan pengangkutan besar, dan kawasan perindustrian berkembang pesat sepatutnya membuka ruang untuk pelaburan lebih besar serta pulangan lebih berkebajikan untuk rakyat.

“Namun begitu, apa yang berlaku ialah sebaliknya dan negeri Selangor berhak untuk mendapatkan yang lebih baik.

“Kita seharusnya berusaha memastikan setiap potensi ini memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat sama ada Melayu, Cina, India serta semua yang ada di Selangor,” ujarnya.

Sehubungan itu, Zurk mengingatkan pentingnya amalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dalam sidang DUN tersebut.

“Melalui sidang ini, marilah kita bersama-sama mengamalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) serta mencari penyelesaian yang lebih holistik.

“Penyelesaian tersebut bukan hanya menekankan pertumbuhan ekonomi tetapi juga mengutamakan kesejahteraan sosial, kualiti hidup rakyat dan pembinaan komuniti lebih inklusif dalam Belanjawan 2025 Negeri Selangor akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2024