HAK PASTI Teras Jernang berlangsung di UKM

- Advertisement -

BANGI: PASTI As-Syakirin Teras Jernang telah meraikan 190 muridnya di Hari Anugerah Kecemerlangan (HAK) di Dewan Keris Mas, Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Seramai 79 murid 6 tahun comel bergaya dengan jubah dan topi mortar menerima sijil tamat belajar disampaikam Setiausaha Jabatan Amal Kawasan Bangi, Ustaz Ahmad Khairul Azuan Wahab.

Majlis disempurnakan oleh Ketua Pemuda PAS Bangi, Khairul Nadzir Helmi  dan diserikan lagi dengan kehadiran pegawai Pernaziran PASTI Negeri Selangor, Ustazah Maimon Saidan Ahmad.

Khairul Nadzir dalam ucapannya memperkenalkan Dewan Pemuda PAS sebagai teraju utama dalam melahirkan institusi pendidikan awal kanak-kanak iaitu PASTI dan meneruskannya ke peringkat sekolah rendah (SRITI) dan menengah (SMITI).

Komitmen ibu bapa memenuhi ruang dewan hingga akhir majlis turut dihiburkan dengan persembahan seperti Kalam Jamaei, Dikir Barat, Pentomin dan Bicara Berirama oleh pelajar dari umur 4, 5 dan 6 tahun.

Majlis turut memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar yang berjaya mewakili PASTI di peringkat kawasan dan negeri antaranya Sukan Pasti, Alam Ria dan ujian Setara.

Tokoh pelajar terpilih pada tahun ini adalah Umar Saifullah Norafendi dan Nur Syafiqqah Batrisyia Burhanoddin berdasarkan pencapaian 50 peratus akademik dan 50 peratus sahsiyah. – HARAKAHDAILY 19/11/2019

- Advertisement -