Pertahan PN hingga ke hujung penggal

- Advertisement -

MENURUT laporan terkini bilangan penyokong Perikatan Nasional di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah seramai 113 ahli Parlimen, bukannya 114 apabila Ahli Parlimen Sri Aman yang disenarai duduk di bangku kerajaan semalam mendakwa beliau sebenarnya bersama blok pembangkang.

- Advertisement -

Ini bermakna PN dengan 113 kerusi, memegang kerajaan dengan kelebihan yang paling tipis dalam sejarah Parlimen negara iaitu 2 kerusi. Pembangkang PH punya 108 kerusi termasuk Sri Aman, dan 1 kerusi Bebas. Parlimen mempunyai 222 kerusi.

Namun demikian menurut sistem yang kita amalkan mana-mana pemimpin parti atau blok yang pada pandangan Yang di-Pertuan Agong mendapat kepercayaan Ahli-ahli Dewan akan dilantiknya menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan walaupun dengan memiliki 112 kerusi. Iaitu majoriti 1 kerusi.

Apa pun dengan hakikat ini, Muhyiddin sah Perdana Menteri dan Kerajaan PN sah memerintah melainkan jika ada apa-apa perubahan dalam kedudukan kerusi yang mengurangkan majoritinya.

Dengan itu PN harus diberi kepercayaan untuk terus memerintah dan mentadbir negara mengikut acuan dan perancangan mereka selagi kedudukan ini kekal. Dan melihatkan suasana dalam negara, dengan berhadapan pandemik COVID-19 dan fasa pemulihannya, fokus rakyat dan negara sudah tentu adalah pada pemulihan ekonomi negara dengan harapan Malaysia akan kembali seperti sediakala sebagaimana pra-penularan wabak ini dahulu.

Rakyat tidak mahu diseret ke kancah politik yang tidak menentu dan merugikan sebagaimana titah YDP Agong di Parlimen. Oleh itu yang penting sekarang adalah memperbaiki taraf hidup rakyat serta membina semula sebuah negara yang lebih sejahtera dan makmur.

Kerajaan PN bawah kepimpinan Muhyiddin perlu beri fokus pada keutamaan ini dan terus membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mempunyai kebolehan dan kemampuan. Rakyat mahu lihat pemimpin yang jujur, yang membela dan memperjuangkan nasib mereka. Pemimpin yang bertaqwa dan bersih, tidak gila dan berebut kuasa, tidak rasuah serta rasis dan ekstrem.

Dalam waktu yang sama PN selaku blok kerajaan perlu diperkukuhkan.

Usaha perlu diambil agar parti-parti yang mendukung PN khasnya BERSATU, BN, PAS, GPS dan lain-lain dapat menjalin kerjasama yang baik demi rakyat dan negara. Jika masing-masing mahu kerajaan ini kekal, dan kuasa tidak lagi jatuh ke tangan yang tidak sepatutnya sehingga menyiksa hidup rakyat, bangsa dan agama maka semua pihak kena berkorban dan bertolak-ansur.

Di waktu inilah kita mahu melihat pemimpin dan parti yang berjiwa besar, mengamalkan politik yang matang, kerana kegagalan kita akan mengakibatkan kaduk kembali naik junjung dan rakyat menjadi mangsa sebagaimana sewaktu 22 bulan pemerintahan PH dahulu.

Jangan bimbang walau bertahan dengan majoriti cuma 2 kerusi, yang penting adalah ketahanan dan jati diri mereka yang bernaung di bawah PN. Tidak mustahil jika kerajaan PN mampu mempamerkan prestasi yang baik, bakal ada mereka yang dibangku pembangkang berpihak pula ke PN dan mengukuhkannya lagi. Pihak PH pun bukanlah teratur dan tersusun mana pun kekuatan mereka.

Di Kelantan tahun 2004 dahulu, kerajaan negeri PAS tanpa bantuan mana-mana parti lain mampu bertahan hingga ke hujung penggal walaupun dengan majoriti 1 kerusi. Rahsia ketahanan adalah istiqamah dengan meletakkan prinsip dan dasar perjuangan di hadapan mengatasi segala yang lain. Jangan sekali-kali kita menggadaikan maruah agama dan bangsa.

Yang penting semua pihak mesti menyumbang ke arah memperkukuhkan PN sehingga mampu bertahan ke penghujung penggal dan kemudiannya menghadapi PRU ke 15 dengan hasil yang lebih memberangsangkan tidak lagi majoriti yang tipis seperti hari ini.

Misi utama kita adalah memastikan PH tidak kembali berkuasa dan DAP tidak kembali bermaharajalela, biar bumi dipijak kekal milik kita. BERSATU, BN-Umno, PAS, GPS dan lain-lain bermuafakatlah dengan hikmah dan penuh kebijaksanaan.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 19/5/2020

- Advertisement -