PASCA-Perang Dunia Kedua, yang kalah menjadi abu dan yang menang pula menjadi arang. Amerika Syarikat menerima kesan yang paling rendah dan ringan berbanding negara lain kerana mereka menyertainya kemudian selepas berlakunya serangan pertama Jepun terhadap Pearl Harbor dan juga disebabkan kedudukan geografinya yang jauh dari medan perang.
Walaupun serangan ke atas Pearl Harbor berjaya memusnahkan banyak kapal perang dan pesawat milik Amerika Syarikat, ia tidak mengenai sasaran utama seperti kapal pengangkut pesawat, yang kebetulan tiada di pangkalan ketika serangan itu berlaku. Selain itu, serangan tersebut juga telah membangkitkan kemarahan rakyat Amerika Syarikat, sekali gus menyebabkan mereka mengisytiharkan perang terhadap Jepun pada keesokan harinya. Akhirnya, membawa kepada kejatuhan dan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua dengan senjata iaitu melalui ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki.
Jerman dan Itali pula menguasai Eropah, Afrika Utara dan Asia Tengah. Untuk mempertahankan kemenangan awal di wilayah seluas itu merupakan sesuatu yang di luar kemampuan mereka. Maka, ia berakhir dengan kekalahan apabila mereka tidak mampu menghadapi serangan balas pihak tentera Paksi Bersekutu, yang juga menang dengan kekuatan senjata.
Negara-negara Paksi Bersekutu di Eropah, termasuk Rusia dan China, terpaksa bekerja keras membangunkan negara masing-masing. Hal ini demikian kerana, berlakunya kerosakan yang parah dan angka kematian yang tinggi. Namun begitu, negara-negara yang paling parah ialah Jerman, Jepun dan Itali yang mengalami kekalahan.
Adapun nasib negara-negara yang berada di bawah jajahan takluk negara Barat lebih parah keadaannya, apabila mereka menjadi mangsa kemusnahan dan mengalami jumlah kematian yang tinggi. Hal ini disebabkan negara mereka dijadikan medan perang secara langsung, malah rakyatnya turut dikerah menjadi tentera oleh penjajah masing-masing. Sebahagian besarnya adalah negara-negara Islam.
Walaupun kemudiannya negara-negara jajahan itu diberikan kemerdekaan mengikut perjanjian, tetapi pengaruh penjajah dalam politik, ekonomi dan ketenteraan masih diteruskan. Negara-negara bekas jajahan terus menjadi penyumbang ekonomi kepada penjajah masing-masing, sehingga hasil kekayaan negara bekas jajahan tidak banyak yang dapat dimanfaatkan oleh tanah airnya sendiri. Akibatnya, negara-negara ini terus kekal sebagai negara sedang membangun yang terbatas kemajuannya.
Negara-negara Blok Timur yang berdepan secara perang dingin dengan Blok Barat tidak tumbang melalui jalan ketenteraan dengan berlakunya Perang Korea dan Perang Vietnam. Namun, negara-negara ini tumbang disebabkan kelemahan ekonomi yang berpunca daripada ideologi kebendaan melampau yang dianuti negara-negara ini demi masyarakat sehingga melumpuhkan aktiviti ekonominya.
Kehancuran Soviet Union (Kesatuan Soviet) pula berlaku disebabkan faktor ekonomi, mendorong negara-negara blok Sosialis melakukan reformasi ke arah pendekatan pragmatik yang lebih bebas. Seterusnya, mereka muncul menjadi pencabar dari segi ekonomi, bukan sahaja dari segi ketenteraan.
Khususnya negara China yang memiliki pasaran yang kukuh kerana populasi rakyatnya yang besar dan berkembang ke luar negara. Hal ini menjadikannya pencabar kepada Blok Barat yang sedang merudum kerana kelemahannya yang juga berteraskan kebendaan.
Adapun Amerika Syarikat yang menjadi ketua Blok Barat dapat mencapai penguasaan ekonomi yang cepat dengan menguasai Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan menjadikan mata wang US Dolar sebagai tukaran mata wang dunia. Malah, Amerika Syarikat juga berjaya mempengaruhi pelbagai institusi seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), dan cabang-cabang yang berada di bawah pengaruhnya. Melalui Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pula, mereka berjaya menguasai aspek ketenteraan.
Dasar luar Amerika Syarikat terhadap negara Islam terlalu keras, kerana Islam kini masih disenaraikan sebagai pencabar yang menghalang cita-citanya. Isu pengganas dan pelampau Islam dijadikan alasan untuk melakukan serangan dalam dua siri Perang Teluk pada abad yang lalu, pencerobohan ke atas Afghanistan dan Iraq.
Di samping itu, alasan ini juga digunakan untuk membantu Israel yang menjadi barisan hadapannya dengan senjata bertali arus termasuk senjata yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa. Begitu juga dalam hubungan diplomatik dengan menggunakan kuasa veto terhadap setiap keputusan PBB dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang dibakulsampahkan.
Semua negara dan kumpulan yang tidak menyokongnya seperti Republik Islam Iran dan semua kumpulan Islam yang anti-Israel seperti Hamas, Tanzim Jihad, termasuk Ikhwanul Muslimin daripada kalangan Sunni, Hizbullah dan Ansarallah daripada kalangan Syiah, serta lain-lain, telah disenaraikan sebagai pengganas tanpa mengira mazhab. Bahkan, kemenangan pilihan raya oleh kumpulan Islam melalui sistem demokrasi turut dibatalkan.
Namun, dikecualikan negara yang berpihak kepada Israel dan negara Barat yang membantunya dengan segala jenis senjata, termasuk yang dilarang oleh undang-undang antarabangsa. Sehingga dibiarkan mengganas tanpa sempadan undang-undang dan perikemanusiaan yang disaksikan oleh seluruh dunia. Walaupun bercanggah dengan keputusan PBB dan Mahkamah Antarabangsa, keganasan yang dilakukan oleh Israel tetap dianggap berhak atas nama menjaga keselamatan dan keamanan.
Kekalahan di Afghanistan dan Somalia, serta kegagalan Perang Teluk dan terakhir di Yaman, termasuk kegagalan mematikan gerakan Islam di beberapa negara masih tidak memadamkan permusuhannya terhadap Islam.
Sehinggakan, isu Islamofobia disebarkan dengan lebih meluas bagi mencipta kebencian terhadap Islam. Diikuti serangan pemikiran dan fahaman yang menggalakkan pembawaan Islam baharu yang tidak bermusuh dengan Barat. Fahaman berjenama ideologi ini membawa aliran Islam yang menumpang jenama ideologi seperti Islam Sosialis, Islam Liberal dan Haddathah (pembaharuan sehingga mengubah dasar dan rukun), Islam Sekular, Islam Progresif, Reformasi, Madani dan lain-lain lagi. Slogan-slogan ini dimasukkan ke dalam masyarakat Islam yang menjadi mangsa kejahilan dan pengaruh kebendaan sehingga menghalang pelaksanaan Islam yang menjadi rukun kenegaraan.
Kumpulan ini dipengaruhi supaya melakukan normalisasi dengan Israel melalui konsep agama Abraham yang membawa agenda pluralisme agama (semua agama dianggap sama sahaja).
Amerika Syarikat kini sedang menjemput negara-negara Islam atas nama perdamaian yang zalim dan perkara ini menghina Islam dan penganutnya. Mereka mencadangkan perdamaian dengan melucutkan senjata daripada kumpulan yang menentang Israel serta membekalkan Israel dengan semua jenis senjata atas nama keselamatan bagi Israel sahaja, tetapi berselindung di sebalik slogan perdamaian.
Umat Islam perlu mengambil iktibar daripada sejarah dengan menjadikannya teladan dan sempadan. Mereka hendaklah sedar bahawa umat Islam yang berwala’ kepada bukan Islam demi mencari kemenangan menunjukkan sifat-sifat munafiq yang menjadi penyakit yang merosakkan iman.
Turkiye yang menumpang Jerman dalam Perang Dunia Pertama hilang taraf kuasa besarnya bersama gelombang kekalahan Jerman, menyebabkannya bertukar kepada negara sekular yang meminggirkan Islam. Akibatnya, tanah air umat Islam terus berada di bawah penjajahan, bahkan lebih parah diperhambakan selepas dibelah bahagi menjadi pusaka kematian Khilafah ‘Uthmaniyyah.
Dalam Perang Dunia Kedua, beberapa pemimpin dan raja Islam menyertai negara-negara Pakatan Bersekutu untuk mengalahkan Jerman, Itali dan Jepun. Akibatnya, negeri-negeri Islam berada di bawah pengaruh kuasa Barat yang pernah menjajah mereka. Kekayaan bumi yang dikurniakan Allah dan jumlah tenaga manusia yang besar tidak digunakan untuk membangunkan diri sendiri.
Maka, jumlah umat Islam dan hasilnya hanya tinggal laksana buih di lautan, sebagaimana yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW:
يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا.
“Hampirlah berlakunya umat Islam akan dikepung oleh musuhnya, laksana kumpulan yang mengelilingi hidangan makanan yang lazat dengan bernafsu rakus meratah hidangan yang menyelerakan.”
فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟
Maka, seseorang dalam kalangan sahabat bertanya, “Adakah jumlah kita (umat Islam) pada masa itu terlalu sedikit?”
قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهْنَ.
Baginda bersabda, “Bahkan, ketika itu kamu sangat ramai, tetapi kamu laksana sampah sarap yang dihanyutkan oleh air banjir. Allah menghilangkan rasa gerun terhadap kamu daripada perasaan dalam hati musuh kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu perasaan al-wahn (hina dan lemah).”
فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الْوَهْنُ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا، وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ.
Lalu seseorang dalam kalangan sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah maksud al-wahn (hina) itu?” Baginda menjawab, “Terlalu kasih akan dunia (kasih akan harta secara melampau dan bernafsu tanpa sempadan) dan takut akan mati.” [Riwayat Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, No. 4297, daripada Thawban bin Bujdud]
Donald Trump yang menjadi Presiden Amerika Syarikat baharu, melonjak lebih ke arah hadapan untuk memperkasakan Amerika Syarikat dalam kalangan negara sekutunya supaya menjadi kuasa tunggal dunia. Antaranya, dengan mengeluarkan kenyataan mahu menguasai Kanada, membeli Greenland dan ingin menggunakan Terusan Panama dan Terusan Suez secara percuma.
Donald Trump dipilih kerana politik kekayaan, iaitu penyakit yang pernah menimpa Bani Isra’il sebagaimana yang diceritakan oleh firman Allah SWT:
وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ٱللَّهَ قَدۡ بَعَثَ لَكُمۡ طَالُوتَ مَلِكٗاۚ قَالُوٓاْ أَنَّىٰ يَكُونُ لَهُ ٱلۡمُلۡكُ عَلَيۡنَا وَنَحۡنُ أَحَقُّ بِٱلۡمُلۡكِ مِنۡهُ وَلَمۡ يُؤۡتَ سَعَةٗ مِّنَ ٱلۡمَالِۚ قَالَ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰهُ عَلَيۡكُمۡ وَزَادَهُۥ بَسۡطَةٗ فِي ٱلۡعِلۡمِ وَٱلۡجِسۡمِۖ وَٱللَّهُ يُؤۡتِي مُلۡكَهُۥ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٞ ٢٤٧
“Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu.’ Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa.’ Allah memberikan pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 247]
Amerika Syarikat memilih presidennya dengan pengaruh Yahudi Zionis yang berkonsepkan politik wang, menunjukkan kegilaannya mengejar kekayaan bagi menguasai dunia.
Kenyataan mutakhir Trump mengisytiharkan Perang Ekonomi melalui kenaikan tarif terhadap China dan Rusia. Kedua-dua negara itu dianggap sebagai pencabarnya apabila negara-negara Blok Timur merobohkan tembak pemisah dan masuk ke negara luar melalui pengaruh perdagangan pragmatik yang terbuka, menjadikannya pencabar kepada negara Blok Barat.
Amerika kini menggunakan serampang dua mata melalui politik wang yang ditaja oleh Donald Trump. Mereka membeli negara dengan kewangan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, serta menarik negara yang kaya dengan sumber hasil supaya melabur ke dalam negaranya dengan jumlah angka yang besar.
Selepas kegagalan serangan ketenteraan di Afghanistan, Somalia, Perang Teluk dan terakhir, Operasi Taufan al-Aqsa di Palestin yang menembusi pertahanan Israel yang gagal dihalang oleh bantuan senjata bertali arus dan tanpa sempadan, Donald Trump menukar strateginya kepada serangan ekonomi khusus melalui politik wang.
Bermula dengan tawaran kewangan melalui Bank Dunia dan IMF kepada negara yang berkiblat kepadanya. Terutama negara yang kiblat solat dan hajinya masih ke arah Rumah Allah (Kaabah) di Makkah, tetapi kiblat politik dan ekonominya ke Rumah Putih (White House) di Washington.
Masalah Palestin ditukar daripada penyelesaian dua negara (two-state solution) kepada memindahkan rakyat Palestin dan Masjid al-Aqsa dengan bantuan kewangan yang tidak terhingga. Namun begitu, penyelesaian itu ditolak oleh kumpulan Islam yang paling kuat pengaruhnya dalam kalangan rakyat. Adapun PLO yang menerimanya kehilangan sokongan rakyat.
Paling celaka ialah pelaburan dengan angka ratusan bilion (hampir mencecah trilion) oleh negara-negara Arab kepada Amerika Syarikat. Hal ini menjadikan negara Islam yang kaya hasilnya laksana lembu susu yang diberi makanan, adapun susunya diangkut oleh tuannya. Ini termasuklah dalam lapangan teknologi persenjataan yang membantu Israel terlampau mengganas − langkah yang mengecewakan usaha jihad menentang Israel dan membebaskan Masjid al-Aqsa.
Usaha untuk menjadi kuasa besar tunggal tetap menemui kegagalan sepanjang zaman kerana bertentangan dengan tabii alam ciptaan Allah. Firman Allah SWT:
… وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡعَٰلَمِينَ ٢٥١
“…Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam.” [Surah al-Baqarah: 251]
Pertembungan sehingga berlakunya peperangan dalam kalangan manusia adalah sifat tabii alam. Hal ini tidak berubah sejak perlawanan Iblis dan pengikutnya terhadap tugas Adam AS dan zuriatnya di alam dunia bagi menjadi ujian kepada manusia.
Firman Allah SWT:
تَبَٰرَكَ ٱلَّذِي بِيَدِهِ ٱلۡمُلۡكُ وَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ ١ ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلٗاۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ ٢
“Maha Suci Allah, dalam Tangan-Nya sahajalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (1) (Tuhan) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (2)” [Surah al-Mulk: 1–2]
Dalam sejarah dunia, tidak ada kuasa besar yang kekal kerajaannya kerana yang kekal hanyalah kerajaan Allah Tuhan semesta alam, sama ada kerajaan Islam ataupun kerajaan bukan Islam. Hal ini bukan sahaja melibatkan pertembungan antara Islam dengan bukan Islam, bahkan juga pertembungan yang berlaku antara sesama Islam dan sesama bukan Islam.
… وَتِلۡكَ ٱلۡأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيۡنَ ٱلنَّاسِ … ١٤٠
“…Dan demikian itulah keadaan hari-hari itu Kami gilirkan antara manusia (agar mereka mendapat pelajaran)…” [Surah Ali ‘Imran: 140]
Allah mengharamkan umat Islam menggantungkan kemenangannya dengan bukan Islam walaupun Islam mendahulukan perdamaian terhadap bukan Islam kerana memperkenalkan Islam secara langsung.
Maka, berlakulah mukjizat Rasulullah SAW melalui sabdanya:
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمُ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَائِهِمْ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ، وَهُمْ كَذَلِك.
“Akan sentiasa ada dalam kalangan umatku kumpulan yang bangkit menegakkan Islam secara zahir (terbuka) dengan menghadapi musuh mereka dalam keadaan gagah perkasa. Mereka tidak boleh dikalahkan oleh kalangan orang yang menentang mereka (yang mengecewakan) melainkan mereka (kumpulan Islam itu) ditimpa kesusahan, mereka meneruskan perjuangan sehingga datangnya ketentuan Allah (mati syahid atau memperoleh kemenangan) dan mereka kekal seperti itu.”
قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟
Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?”
قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِس.
Rasulullah SAW menjawab, “Di Bait al-Maqdis dan di sekeliling Bait al-Maqdis.” [Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, Musnad al-Ansar, No. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]
Setelah gagal meneruskan penyelesaian dua negara yang mengharamkan semua kumpulan Islam, mereka meneruskan langkah dengan melakar peta baharu dan menyekat kemenangan melalui operasi Taufan al-Aqsa.
Amerika Syarikat dan sekutunya pula mengambil langkah politik bagi menyekat kemenangan kumpulan Islam dengan politik wang. Caranya adalah dengan membeli negara yang miskin melalui Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, serta mengambil kekayaan negara Islam yang kaya dengan hasil buminya supaya melabur bersama mereka bukan melabur bersama negara Islam.
Termasuklah memajukan teknologi senjata yang membekalkan Israel tanpa sempadan dan membantu negara Islam bersamanya untuk berperang saudara dengan kadar yang tidak mengatasi keamanan dan keselamatan negara Israel.
Kita yakin dan percaya akan kebenaran sabda Rasulullah SAW bahawa segala halangan yang mengecewakan dan melemahkan perjuangan Islam tidak mampu menghalang kemenangan yang telah dijanjikan oleh Allah.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Zulqa‘dah 1446 / 20 Mei 2025
[Bil: 33 / 2025] - HARAKAHDAILY 20/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!