Pemuda PAS sumbang peralatan sekolah buat pelajar

- Advertisement -

LENGGONG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Lenggong telah menyerahkan sumbangan kelengkapan persekolahan kepada pelajar dari golongan keluarga kurang berada pada program ‘Back To School’, baru-baru ini.

- Advertisement -

Program dengan kerjasama Lajnah Pendidikan PAS Lenggong itu turut disertai anggota keluarga atau penjaga pelajar-pelajar berkenaan yang diadakan di Pusat Pakaian Hari-Hari, Gerik, di sini.

Setiausaha Pemuda PAS Lenggong, Nailul Amaley Khan Ibrahim berkata, antara kelengkapan yang dibeli termasuk baju seluar, tudung, kasut dan beg sekolah dengan para pelajar berkenaan memilih sendiri mengikut kesesuaian saiz mereka.

“Program ini melibatkan sebilangan pelajar menengah dan rendah daripada kalangan keluarga yang kurang berkemampuan, di mana Pemuda PAS Lenggong merasa terpanggil untuk ambil inisiatif bantu ringankan beban kos keluarga.

“Dengan bantuan melalui program ini, diharap bebanan kos persekolahan kalangan keluarga terlibat menjadi lebih ringan sedikit,” katanya.

Program diceriakan lagi dengan kehadiran pimpinan PAS Lenggong iaitu Timbalan Yang Dipertua, Mohd Hanafiah Idris dan Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Rifa’at Razman serta Ketua Muslimat, Salmiah Abdul Razak dan Pengerusi Lajnah Pendidikan, Mohd Azmi Ahmad.

Nailul Amaley dalam pada itu turut merakamkan penghargaan serta jutaan terima kasih kepada mereka yang memberikan sumbangan dana bagi menjayakan program itu. – HARAKAHDAILY 27/11/2021

- Advertisement -