Street Dakwah Muslimat Malaysia sebar rahmah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ruang dakwah kepada masyarakat majmuk di Malaysia perlu dimanfaatkan sebagaimana baginda Rasulullah S.A.W menjadi rahmat kepada sekalian alam yang membawa kesejahteraan buat dunia sejagat.

- Advertisement -

Sehubungan itu Muslimat PAS telah menganjurkan Street Dakwah sempena Maulidur Rasul di seluruh negara pada kelmarin dan semalam bagi merealisasikan peranan PAS yang sentiasa cakna pada agenda ummah.

Usaha ini ternyata membuahkan hasil apabila berjaya menarik beberapa individu bukan-Muslim memeluk Islam termasuk mereka yang menyatakan hasrat untuk kembali kepada fitrah menerusi petugas-petugas Street Dakwah Muslimat.

Antara lain mereka yang ditemui telah meminta untuk mengadakan hubungan lanjut agar lebih mengenali dan memahami erti Islam yang selama ini banyak persoalan mereka belum terjawab terhadap agama anutan majoriti penduduk Malaysia.

Menurut Pengerusi Lajnah Dakwah Muslimat PAS Malaysia, Dr Mardhiyah Hayati Salleh program ini juga dapat menyemai semangat persefahaman antara kaum dengan mengenali budaya dan agama kaum-kaum lain.

Di mana ujarnya, semarak sedemikian diyakini pantas untuk membentuk gandingan dalam masyarakat majmuk ke arah kehidupan harmoni tanpa ada rasa curiga terhadap ancaman kaum lain.

Sepanjang penganjuran Street Dakwah kali ini masyarakat berbilang kaum kelihatan terbuka untuk berinteraksi walaupun perkara yang berkaitan Islam dan Nabi Muhammad menjadi topik utama diketengahkan.

Keberhasilan hal tersebut dilihat kerana pendekatan pendakwah yang penuh rahmah dan bijaksana untuk menyampaikan risalah Islam sebagai membawa kesejahteraan dan keadilan kepada semua.

Walaupun begitu, terdapat juga penolakan segelintir masyarakat bukan-Muslim yang kurang berminat terhadap usaha Street Dakwah, namun ia tidak sama sekali mematahkan semangat para pejuang Muslimat.

Penghayatan terhadap sirah perjuangan Rasulullah S.A.W yang lebih banyak menghadapi tentangan berat daripada Musyrikin diyakini telah menjadi suntikan motivasi kepada kejayaan program mega ini. – HARAKAHDAILY 11/11/2019

- Advertisement -