KUALA LUMPUR: Pendedahan elemen rasuah dan penggunaan ‘dirty money’ yang dikaitkan secara langsung dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, serta tokoh korporat terkemuka sewajarnya dipandang serius seluruh rakyat Malaysia.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendedahan mengejutkan yang sedang tular melibatkan pengakuan Ketua Cabang PKR Wangsa Maju itu merupakan dakwaan yang amat berat dan tidak boleh dipandang ringan.
“Ia bukan sekadar mencalar imej individu tertentu, tetapi turut menjejaskan maruah negara di mata dunia serta kepercayaan rakyat terhadap integriti pentadbiran kerajaan.
“Lebih malang, pendedahan ini secara langsung memalitkan kredibiliti pemimpin nombor satu negara, yang selama ini melaungkan slogan reformasi, integriti dan ketelusan.
“Saya menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh terus berdiam diri dalam isu ini. Rakyat berhak tahu kebenaran dan menuntut agar satu siasatan segera, menyeluruh dan telus dijalankan,” ujarnya.
Beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak tanpa rasa gentar, bebas daripada sebarang pengaruh politik, demi memastikan keadilan ditegakkan.
Sehubungan itu, Lajnah Penerangan dan Media Baru juga katanya, telah mengarahkan seluruh jentera penerangan di peringkat negeri dan kawasan untuk membuat laporan polis bagi mendesak siasatan segera terhadap dakwaan ini.
Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, perkara tersebut adalah tanggungjawab moral bagi mempertahankan maruah negara dan memastikan amalan politik bersih ditegakkan.
“Kita ingin mengingatkan kerajaan bahawa ketelusan dan integriti bukan sekadar retorik politik, tetapi satu kewajipan yang mesti dibuktikan dengan tindakan.
“Jangan biarkan rakyat terus dikhianati dengan permainan politik kotor yang merugikan negara,” ujarnya terhadap isu tersebut yang hingga kini belum mendapat reaksi pihak-pihak disebutkan itu. – HARAKAHDAILY 19/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!