Tidak benarkan kajian vaksin satu dakwaan

VIRAL Dr A, pelajar PhD dari Cyberjaya Universiti yang dakwa kajian vaksin tidak dibenarkan dan dilarang buat. Saya kira ini ada satu tuduhan berat kepada ilmu dan disiplin perubatan. Setiap dakwaan perlu dibuktikan. Pihak Universiti mesti menjawab dakwaan ini.

Kaedah yang sama dalam perubatan dengan pendakwaan sesuatu hukum dalam agama kita, apa saja perbahasan hukum, mesti dikemukakan kesahihan serta rujukan darinya sama ada menggunakan Hadis yang sahih, palsu atau kenyataan fatwa dan ulamak berautoriti. Tidak boleh sekadar dakwaan kosong.

Advertisement

Saya cadangkan Dr A beri nama penuh dan cuba dia buat penulisan berilmiah, berikan link rujukan atas semua dakwaan dia itu. Kita nilai taraf dakwaan sahih atau tidak. Bolehlah jawatankuasa kajian menilai tesis PhD di Universiti beliau belajar itu, sama ada ikut metodologi kajian atau tidak. Adakah betul ataupun tidak atau semata-mata khayalan sahaja.

Dalam perubatan tak boleh buat dakwaan tanpa dinilai akan kesahihannya berdasarkan kepada bukti perubatan. Kalau testimoni ataupun kajian yang tidak ikut metodologi boleh letak tepilah. Untuk makluman, Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari (Akta TCM 775) yang diluluskan 2016 bukan untuk menyekat perubatan alternatif dalam negara. Tetapi ingin mengangkat Perubatan TCM ini sama taraf dengan perubatan arus perdana seperti mana Akta Perubatan Moden 1971 yang dikenakan ke atas doktor-doktor perubatan sekarang ini.

Akta TCM 775 ini akan terpakai kepada Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplimentari (PPTK) yang mendakwa mereka mencegah, merawat dan mengurus penyakit manusia atau sakit atau memelihara kesejahteraan fizikal dan mental individu. Ianya termasuk amalan seperti:

(1) Perubatan tradisional Melayu,
(2) Perubatan tradisional Cina,
(3) Perubatan tradisional India,
(4) Pengubatan Islam,
(5) Homeopati, dan
(6) Terapi komplementari, 

Pengecualian; Akta ini tidak termasuk amalan perubatan dan pergigian yang masing-masing digunakan oleh pengamal perubatan dan pengamal pergigian (Akta Perubatan termasuk pergigian sudah sedia ada sejak 1971).

Merujuk kepada perubatan Homeopati yang kononnya mendakwa terdapat vaksin yang dikeluarkan oleh mereka. Boleh lihat kenyataan dari pihak berkuasa Homeopati Kanada yang menafikan bahawa Homeopati mengeluarkan vaksin. Bahkan pihak berkuasa berkenaan juga menyokong vaksin COVID-19 yang digunakan di seluruh dunia pada masa sekarang. Kalau bab sembang orang kita ini memang laju. Dekat Kelantan, tok bomoh pun boleh mengaku boleh merawat COVID-19. Siap ada kertas iklan no telefon dan waktu perkhidmatan lagi.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 2/6/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.