
KANGAR: Perlis terus melangkah gagah dalam usaha memperkasa pendidikan awal kanak-kanak berteraskan Islam apabila menjadi negeri kesembilan menganjurkan program Teroka Taska Asuhan Tunas Insan (TASTI) yang berlangsung di Kompleks PAS Perlis, di sini malam tadi.
Program anjuran Jabatan TASTI Malaysia dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Perlis itu berjaya menghimpunkan para muslimat dari seluruh negeri bagi mendalami dan memahami lebih dekat peranan serta objektif penubuhan TASTI dalam membentuk generasi soleh dan musleh sejak usia tiga bulan hingga empat tahun.
Pengarah program, Aisyah Solehah Salleh berkata, penganjuran program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada para muslimat khususnya mengenai TASTI serta bagaimana pelaksanaannya dapat membantu pembangunan sistem pendidikan prasekolah berteraskan Islam yang syumul.
“TASTI bukan sekadar pusat asuhan, tetapi satu sistem pendidikan awal yang menanam benih iman dan jati diri Islam dalam jiwa anak-anak kecil kita. Maka amat penting untuk muslimat memahami konsep ini agar mampu menyumbang secara aktif dalam pelaksanaannya di peringkat negeri dan kawasan,” jelasnya kepada _Harakahdaily_.
Antara pengisian utama program ialah dua slot perkongsian ilmu yang disampaikan oleh tokoh penting dalam pentadbiran TASTI Malaysia, termasuk Pengarah Jabatan TASTI Malaysia, Rashidah Arbain memberi penerangan mendalam pelaksanaan dan hala tuju TASTI secara nasional.
Dalam perkongsian beliau, Rashidah menekankan bahawa pendidikan Islam wajib dimulakan seawal mungkin bagi memastikan kanak-kanak dibesarkan dalam persekitaran yang mengenal Allah, menyayangi Rasul dan memahami asas-asas akidah sebenar.
“TASTI adalah tapak semaian akidah, akhlak dan ibadah. Di sinilah tempat kita mencorak generasi yang akan memimpin umat pada masa hadapan. Sebab itu, kita mahu program seperti ini diperluas ke seluruh pelusuk negara,” ujarnya.
Sementara itu, Aisyah Solehah berkata, program tersebut menjadi medan memperkukuh barisan pendidik dan penggerak muslimat dalam menjayakan agenda pendidikan Islam yang lebih tersusun dan bersistem.
“Insya-Allah, selepas ini kita akan gerakkan usaha untuk menubuhkan lebih banyak pusat TASTI di seluruh Perlis dengan komitmen penuh daripada muslimat dan para ibu bapa,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!