PADANG TERAP: Kerajaan negeri akan merasmikan kampung tersusun yang pertama di negeri ini pada 30 Oktober depan, demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurutnya lagi, kampung tersusun yang menyediakan 100 lot tanah untuk penerima benar-benar layak itu terletak di Perik, di sini.
“Lot tanah ini akan diberi kepada penerima yang benar-benar tidak mempunyai tanah untuk dibuat tapak kediaman, keutamaan kepada golongan miskin.
“Penerima sebelum ini telah membuat permohonan di Pejabat Daerah, 30 Oktober ini kita nak buat serahan,” jelasnya.
Kata Sanusi, buat masa sekarang permohonan tanah kerajaan telahpun dilupuskan, sementara geran-geran sedang diproses serta diluluskan adalah permohonan dibuat 30 tahun lalu melalui dasar yang ditetapkan, tidak lebih daripada lima ekar.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah di Dewan Komuniti FELCRA Belimbing, Tualak, hari ini
Sementara itu ujar beliau, semua permohonan tanah tertangguh sebelum ini, akan terus diproses sepanjang tahun untuk membolehkan pemohon yang layak segera mendapat geran hak milik.
“Kita proses sepanjang tahun, tak tunggu dekat pilihan raya sahaja. Sebab ini janji kita. Nak habiskan semua permohonan yang ada di pejabat tanah dan pejabat daerah.
“Saya difahamkan, permohonan hak milik tanah paling tinggi adalah di daerah Padang Terap. Di Alor Setar dan Yan, dah tak ada, tetapi di Baling, Pendang, Sik termasuk Padang Terap, masih banyak. Tapi semuanya tanah pertanian,” jelasnya.
Sungguhpun begitu, pihak Pejabat Tanah dan Galian akan menapis setiap permohonan untuk memastikan tiada pertindihan nama atau yang melibatkan tanah milik Jabatan Hutan.
Mengulas lanjut, kata beliau, tanah milik Jabatan Hutan yang diteroka 20 hingga 30 tahun lalu, dan telah dijadikan kampung, perlu diganti oleh kerajaan negeri kepada jabatan tersebut.
“Semua tanah-tanah berkenaan sudah selesai diberi geran hak milik, Selepas ini tak keluarkan lagi geran untuk tanah milik Jabatan Hutan,” jelasnya.
Sementara itu, penerima geran hak milik hari ini keseluruhannya berjumlah 462 orang, melibatkan 83 geran tanah individu, 168 geran tanah kediaman, 211 geran agensi KEDA dan disampaikan oleh Menteri Besar.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali dan Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Muhamad Arof Darus serta Pegawai Daerah Padang Terap, Azmin Zainol Abidin.
Juga Ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Nurul Amin Hamid, ADUN Pedu, Mohd Radzi Mat Amin dan barisan Exco Kerajaan Negeri. – HARAKAHDAILY 4/9/2024