MoU Transformasi dan Kestabilan Politik

Menuju politik damai, demi rakyat

- Advertisement -

MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik adalah satu sejarah baru yang membuktikan keterbukaan, kematangan dan kebijaksanaan pemimpin politik Malaysia.

Tiada siapa yang kalah dalam persefahaman ini. Bahkan ia adalah situasi menang-menang-menang. Pihak yang menang ialah kerajaan-pembangkang-rakyat. 

- Advertisement -

Kesepakatan ini adalah satu kejayaan dalam mengolah cabaran menjadi peluang. Langkah ini mengubah konflik menjadi lonjakan politik yang hebat.

Usaha ini bukan sahaja dapat merungkaikan kekusutan politik, bahkan menjalin satu lembaran sejarah dalam menggerakkan budaya baru politik yang matang dan dinamik.

Rakyat bukan sekadar gembira dengan agenda transformasi yang dirangkakan, bahkan juga dengan jiwa besar para pemimpin politik merendahkan ego masing-masing demi kedamaian politik.

Kesepakatan politik begini tidak melunturkan identiti parti-parti atau gabungan-gabungan yang ada. Bahkan masing-masing tetap kekal di posisi masing-masing sebagai parti kerajaan dan parti pembangkang. Perikatan Nasional dan Barisan Nasional kekal menjadi parti mewakili blok kerajaan. Manakala Pakatan Harapan kekal sebagai parti blok pembangkang. 

Kesepakatan ini ibarat ‘gencatan senjata politik’ bagi mengendurkan pertembungan politik dan memberikan tumpuan kepada sesuatu yang lebih penting iaitu pemulihan negara dan demokrasi untuk kepentingan rakyat.

Kita mengharapkan agar permulaan yang digerakkan melalui Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik menjadi satu tapak kukuh untuk mewujudkan budaya politik baharu dalam negara.

Realiti politik semasa yang berteraskan keterbukaan ruang politik, kecenderungan pengundian dinamik serta persaingan politik yang kompleks menuntut agar kesepakatan seumpama ini menjadi acuan kekal dalam membina budaya politik baru.

Kita juga mengharapkan agar usaha untuk melaksanakan transformasi yang dinyatakan itu diluaskan kepada perkara yang menjadi hasrat rakyat seperti pengukuhan kawalan dana politik melalui Akta Dana Politik, peningkatan integriti politik dan pemerintahan, pembinaan iklim politik yang sihat dan penghapusan budaya politik yang jelek seperti fitnah, adu domba dan seumpamanya. Moga langkah kerjasama yang bersejarah ini diberkati dan mencapai kejayaannya seperti yang dihasratkan.

PROF MADYA DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pusat Polisi Perdana
Fakulti Teknologi dan Informatik Razak
Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur – HARAKAHDAILY 14/9/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100002592335141/posts/4317153428381026/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -