BANGI: Pemuda PAS Bangi menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Kerajaan Negeri Terengganu yang memasang papan tanda menolak amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negeri itu.
Ketua Penerangannya, Muhammad Aiman Mohd Yusof, berkata tindakan itu adalah selaras dengan usaha mempertahankan sempadan moral dan sosial yang telah ditetapkan oleh Islam, serta selari dengan tanggungjawab pemerintah dalam menjaga nilai dan jati diri umat.
“Bunyi-bunyi bingit daripada aktivis LGBT mendendang di media sosial, seolah-olah mereka yang paling menjaga hasrat manusia. Dalam Islam, amalan LGBT tidak diiktiraf sebagai norma yang sah.
“Ia tidak diiktiraf sebagai jantina mahupun identiti yang boleh diserap masuk ke dalam kerangka nilai Islam.
“Maka, menjadi kewajipan bagi umat Islam, khususnya pemerintah yang memegang amanah kepimpinan untuk mempertahankan sempadan moral dan sosial yang telah ditetapkan oleh agama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pada Rabu.
Beliau berkata, kemajuan tidak harus ditafsirkan sebagai sokongan terhadap amalan songsang yang bertentangan dengan ajaran agama.
“Teori pemodenan seksual yang menyamar sebagai perjuangan hak asasi tetapi bertentangan dengan ajaran Islam bukanlah kemajuan, malah ia adalah ancaman terhadap nilai yang membina jati diri umat dan masyarakat,” katanya.
Oleh demikian, beliau mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas inisiatif itu yang disifatkan sebagai sebahagian daripada usaha dakwah dan langkah memelihara keharmonian sosial.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas inisiatif pemasangan papan tanda menolak amalan LGBT. Ini bukan tindakan kebencian, jauh sekali penindasan.
“Sebaliknya, ia adalah sebahagian daripada usaha dakwah dan tanggungjawab pentadbiran negeri untuk memelihara keharmonian sosial berdasarkan acuan agama dan budaya tempatan,” katanya.
Justeru, beliau menyeru pihak lain agar tidak mempolitikkan isu itu dan menghormati pendirian negeri yang berlandaskan Perlembagaan serta kebebasan negeri dalam menetapkan dasar pentadbiran selaras dengan prinsip Islam.
Terdahulu, aktivis transgender, Nisha Ayub, mengecam kewujudan papan tanda tersebut sekali gus menyifatkannya sebagai satu bentuk hasutan kebencian yang berbahaya dan contoh jelas diskriminasi institusi.
Nisha berkata, papan tanda seperti itu bukan sahaja menyemai kebencian terhadap golongan minoriti, malah secara tidak langsung menggalakkan perbuatan buli yang boleh membawa kepada keganasan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kebebasan menentukan bentuk penyampaian mesej yang sesuai mengikut kawasan masing-masing, selagi matlamatnya sejajar dengan dasar negeri.
“Apa yang kita laksanakan ini merupakan inisiatif PBT masing-masing. Di tempat lain mungkin menggunakan perkataan yang berlainan,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!