PASTI turut rancakkan pelaksanaan PdPR

- Advertisement -

ROMPIN: PASTI Kawasan Rompin tidak membiarkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dari berlalu begitu sahaja apabila turut melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam kalangan muridnya.

Pelaksanaan tersebut ternyata mendapat sambutan daripada murid-murid dan ibu bapa daripada 20 PASTI Cawangan yang sekali gus mengurangkan keciciran atau ketinggalan silibus pelajaran dalam kalangan murid.

- Advertisement -

Menerusi kaedah PdPR ini bukan sahaja pengajian dapat diteruskan dalam keadaan selamat dan sihat kepada murid-murid, tetapi juga mengatur kembali jadual harian mereka khususnya dalam akademik dari silibus diikuti.

Usaha ini juga berjalan dengan lancar hasil komitmen dan bantuan ibu bapa serta kesungguhan 67 guru PASTI Rompin yang telah bertungkus lumus menyediakan bahan bantu mengajar dalam bentuk video dan grafik.

Ditambah dengan teknologi canggih ada ketika ini amat menjadi pemudah cara antara guru dan murid-murid dalam memberi dan menerima ilmu walaupun hanya dari rumah masing-masing berikutan pandemik kini.

Menerusi inisiatif dilaksanakan juga, murid turut dapat melaksanakan ulangkaji hasil bahan disediakan guru ketika di luar waktu atau jadual pembelajaran ditetapkan.

Pengerusi PASTI Rompin, Ustaz Husaini Ismail berharap menerusi pelaksanaan itu PASTI terus dapat mengekalkan usahanya melahirkan murid cemerlang dan tidak menjadikan pandemik halangan untuk belajar.

Beliau juga mengharap ibu bapa terus menyokong anak-anak mereka dalam memotivasikan semangat menuntut ilmu, selain sokongan banyak pihak agar PdPR dijayakan. – HARAKAHDAILY 25/6/2021

- Advertisement -