Mengisi sebuah kemerdekaan

- Advertisement -

KEMERDEKAAN Malaysia sebelum ini disifatkan separuh masak. Undang-undang yang diwarisi, sebahagiannya masih undang-undang warisan British. Selepas beberapa lama, sedikit-sebanyak usaha penyelarasan antara Undang-undang Sivil dan Syariah dibuat. Ia adalah usaha yang sangat positif.

Sambutan kemerdekaan 31 Ogos 2020 dibuat dalam keadaan PAS mengetuai memerintah Terengganu, Kelantan dan Kedah, serta menjadi sebahagian dari Kerajaan Pusat. Namun kerajaan yang ada setakat ini mungkin tidak lama. PRU15 sangat hampir. PAS perlukan sokongan dan dukungan untuk melaksanakan hasrat mengisi kemerdekaan dengan tuntutan Islam yang sebenar. Ia menjadi hasrat, matlamat dan perjuangan yang tak diganti dengan yang lain, walaupun seringkali difitnah, dimomok dan diperleceh oleh mereka yang tidak memahami dan memusuhi perjuangan PAS kononnya PAS sudah hilang arah tuju dan matlamat.

Mengisi kemerdekaan bukan ucapan retorik. Ia perlukan kesungguhan politik, kesungguhan niat dan kesungguhan perjuangan ke arah itu. Dari segi dasar, PAS tetap berpegang dengan dasar Islam. Perlembagaan PAS menjadi saksi mengenai kebenaran ini. Yang berubah adalah strategi, pendekatan. PAS menggabungkan diri dalam Muafakat Nasional (MN) serta Perikatan Nasional (PN). Perubahan politik sangat dinamik. Bukan kerana kluk-klek, tetapi kerana situasi tertentu yang memerlukan ijtihad politik yang tertentu. Yang penting matlamat menegakkan Islam tidak pernah terpadam dan dipadam. Strategi yang berubah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi yang lebih memahami mengenai keperluannya. Ahli PAS perlu jelas mengenai hal ini, walaupun sesekali agak gusar dengan situasi tertentu yang berlegar.

- Advertisement -

Mengisi kemerdekaan mengambil masa yang panjang. Apatah lagi apabila mahu membersihkan segala jenis lumpur dan selut yang telah lama memenuhi segala ruang rumah itu. Kita sudah lama diingatkan:

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ

“Jika sekiranya perjuangan Islam itu mata benda yang hampir, perjalanan yang dekat, tentulah mereka akan menurutmu (wahai Muhammad), tetapi perjalanan (Islam) itu jauh, penuh kepayahan.”

( at-Taubah: 42)

Justeru, ilmu, amal, istiqamah, dengar dan taat, serta sifat-sifat lain mesti ada kepada mereka yang mahu terus bersama dengan bahtera perjuangan Islam ini. 

Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong antara ulamak dan pejuang kemerdekaan di Terengganu, di samping tokoh-tokoh lain. Di tempat saya tinggal di Chukai, Kemaman ini, sebatang sungai dinamakan Sungai Limbong. Mungkin, sebahagian generasi baharu tidak kenal orangnya. Air sungainya juga kini mungkin agak kering dan sedikit, berbanding dengan zaman dahulunya, tetapi roh dan semangat Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong tidak akan surut dan kering dari jiwa orang Mukmin yang mahu melihat negara ini kembali kepada fitrah Islamnya, melalui pengisian kemerdekaan, sekalipun mengambil masa yang agak panjang.

USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 30/8/2020

- Advertisement -