SRITI berkembang sesuai dengan masyarakat Sabah

- Advertisement -

PAPAR: “Kami ingin menegaskan, komitmen SRITI untuk terus berkembang melalui pendekatan yang sesuai dengan budaya serta jiwa masyarakat Sabah,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Hendri Hamsah.

- Advertisement -

Menurutnya, SRITI bukan sahaja membawa misi pendidikan berteraskan Islam, malah terbuka dan proaktif dalam meraikan keunikan budaya lokal.

“Usaha mengintegrasikan penggunaan bahasa ibunda seperti Bahasa Melayu Sabah, Dusun, Bajau dan sebagainya dalam aktiviti pembelajaran dan kokurikulum merupakan satu langkah ke arah pembinaan identiti pelajar yang lebih kuat dan berakar umbi dalam budaya mereka sendiri.

“Kami menyokong penuh inisiatif memperkenalkan sukan-sukan tradisi tempatan seperti monindak (lari guni), tarik tali, rampanau, sukan rakyat dan sebagainya dalam kejohanan SRITI pada masa hadapan,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Sukan dan Olahraga (KESUGA) SRITI Zon Pantai Barat Sabah ke-4 di Beaufort, semalam.

Tambahnya, acara tersebut bukan sekadar permainan, tetapi merupakan warisan.

Ini, ujarnya kerana apabila anak-anak diajar dengan pendekatan tersebut, mereka bukan hanya menjadi cemerlang dalam akademik, bahkan dididik menjadi pewaris budaya yang tahu menghormati sejarah dan akar bangsa.

Selain itu, katanya, dengan penerapan nilai-nilai murni dan sejarah tempatan seperti mengenal tokoh-tokoh Islam di negeri ini, adat dalam kerangka syarak, serta naratif perjuangan Islam di bumi Sabah akan memperkukuh jati diri anak-anak SRITI sebagai Muslim yang kuat, yakin, dan mencintai tanah kelahiran mereka.

“Kita ingin SRITI menjadi sekolah Islam rakyat yang benar-benar hidup bersama denyut nadi masyarakat Sabah.

“Inilah bentuk tarbiah yang inklusif dan membumi mendidik anak-anak yang beragama, berbudaya dan berwawasan,” katanya.

Menurutnya lagi, dengan pendekatan ini, SRITI bukan sahaja milik ibu bapa PAS, tetapi terbuka dan menyantuni semua lapisan masyarakat yang mahu pendidikan Islam yang holistik dan relevan dengan kehidupan tempatan.

Lima acara sukan telah dipertandingkan dalam kejohanan tersebut yang menyaksikan SRITI An Nawawi, Papar mengutip 10 pingat emas seterusnya dinobat sebagai juara keseluruhan pada kali ini.– HARAKAHDAILY 12/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -