8 tawaran PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan

- Advertisement -

SEREMBAN: Anak-anak muda di Negeri Sembilan bakal menikmati subsidi lesen motosikal B2 bernilai RM300 sekiranya PERIKATAN NASIONAL membentuk kerajaan usai Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Negeri Sembilan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, perkara itu terkandung di dalam tonggak kedua manifesto dan tawaran kepada rakyat negeri ini iaitu ‘Melestari Masa Depan Belia’.

Selain itu, beliau menambah kerajaan PERIKATAN NASIONAL yang bakal dibentuk nanti juga akan memperkenalkan dan melaksanakan program menerusi Gagasan Generasi Milenial yang berdaya saing dan kompetitif.

“Kami akan menawarkan dana Nismilan Mudo termasuk latihan skim perniagaan digital ataupun e-commerce kepada bakal usahawan muda dengan jumlah peruntukan yang memadai.

“Kami akan memperkenalkan ‘Dana Tani Mudo’ dengan peruntukan geran sehingga RM15,000 dengan jumlah peruntukan sebanyak lebih RM1 juta setahun.

“Kami akan memperkasa hab anak muda termasuk pembangunan e-sport di setiap daerah,” ujarnya semasa membentangkan manifesto ‘Tawaran Perikatan Nasional Negeri Sembilan’ secara dalam talian hari ini.

Tambah beliau, kerajaan yang bakal dibentuk nanti juga akan menambah inisiatif rumah transit ataupun rumah ‘sewa untuk beli’ (rent to own) dengan kadar sewaan yang berpatutan kepada golongan belia yang layak termasuk pasangan belia yang baru berkahwin.

Selain itu, tujuh lagi tonggak di dalam tawaran itu ialah Memacu Daya Tahan Ekonomi Dan Menangani Kos Sara Hidup; Ketiga Merakyatkan Pendidikan; Keempat Memperkasa Wanita; Kelima Mempertingkatkan Kesejahteraan Sosial Warga Emas;

Tonggak keenam ‘Memperkukuhkan Jaringan Infrastruktur; Ketujuh Merancakkan Ekopelancongan Adat Dan Budaya dan tonggak kelapan Meningkatkan Kecekapan Tadbir Urus. – HARAKAHDAILY 5/8/2023