RedhaCare bantu kerajaan tingkat kadar vaksinasi

- Advertisement -

Oleh RIZAL TAHIR

TANAH MERAH:
RedhaCare Kelantan mengambil pendekatan proaktif menganjurkan program Outreach Pendaftaran Vaksinasi Covid-19 bagi membantu masyarakat di jajahan Tanah Merah.

Langkah itu juga diambil sebagai menjunjung titah Sultan Muhammad V supaya semua rakyat Kelantan mengambil serius terhadap peningkatan jangkitan Covid-19 sekarang.

Pengerusinya, Dato’ Samsuri Awang Mat bekata, selain kesedaran masyarakat, sokongan pihak lain juga digesa bagi menjayakan program vaksinasi Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, semoga usaha kecil pihaknya mencapai sasaran apabila kadar vaksinasi semakin tinggi di Kelantan sekarang berbanding sebelum ini yang dikatakan rendah.

“RedhaCare Kelantan mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program Outreach Pendaftaran Vaksinasi bagi kepentingan masyarakat setempat di Tanah Merah khususnya di sekitar Gual Ipoh.

“Pendekatan itu dalam usaha membantu pendaftaran penduduk di Tanah Merah yang turut mendapat kerjasama Ketua Jajahan Tanah Merah Mohd Yusof Hassan dan Pegawai Kesihatan Daerah Tanah Merah Dr Ahmad Faris Awang.

“Statistik sebelum ini menunjukkan hanya 37 peratus penduduk di jajahan Tanah Merah yang mendaftar untuk menerima suntikan Vaksin Covid-19,” katanya di sini.

Oleh itu beliau berharap usaha berkenaan dapat membantu kerajaan meningkatkan lagi peratusan rakyat yang mendaftar program vaksinasi.

Samsuri juga berkata, Outreach Redhacare Kelantan turut berkolabarasi dengan Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan diketuai pengerusinya Dato’ Oie Poh Chon mendaftar penduduk di Kota Bharu menerima suntikan vaksin.

Sebelum ini Outreach RedhaCare Kelantan turut menyumbang pelitup muka kepada petugas barisan hadapan di Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu.

“Kami berharap inisiatif RedhaCare Kelantan turut menyumbang potensi agar matlamat imunisasi kelompok pemberian vaksin dapat dicapai dan kehidupan rakyat kembali normal,” ujarnya.

Beliau juga berharap lebih ramai anggota masyarakat mendaftar dengan MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

“Tidak perlu bimbang dan takut kerana terbukti dengan adanya vaksin kita ada perlindungan atau antibodi yang kuat bagi menjauhkan kita daripada wabak Covid-19,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 16/6/2021

- Advertisement -