PUTRAJAYA: PAS mengumumkan pelancaran Pelan Tindakan Komprehensif Get To Zero (GTZ2030) untuk menangani isu HIV/AIDS di Malaysia secara lebih sistematik dan menyeluruh.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelan tindakan itu melibatkan kerjasama antara Lajnah-lajnah dan NGO PAS seluruh Malaysia.
“Pelan tindakan ini dibangunkan bagi menyokong agenda nasional Ending AIDS 2030 yang menetapkan sasaran 95-95-95 iaitu 95 peratus individu berisiko menjalani saringan HIV.
“95 peratus daripada mereka mengetahui status mereka dan 95 peratus daripada pesakit HIV berjaya mencapai kawalan ‘viral load’ yang rendah,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Dato’ Dr Suhaini Kadiman dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim.
Tambah Tuan Ibrahim, GTZ2030 didasari oleh prinsip Amar Makruf Nahi Mungkar yang mendorong pendekatan pencegahan berteraskan nilai Islam dan bukti saintifik.
“Pendekatan ini turut memperkasakan pendidikan kesihatan reproduktif Islam, melalui adaptasi modul yang disusun oleh pakar-pakar Muslim pelbagai bidang, khusus untuk remaja dan komuniti.
“Pelan tindakan ini merupakan satu kebangkitan umat kolektif untuk memperkasa nilai kesihatan, kesejahteraan rohani dan ketahanan sosial dalam menghadapi cabaran HIV/AIDS dan menyantuni komuniti hijrah khususnya yang beragama Islam.
“Walaupun Islam mengharamkan zina, tetapi sebarang elemen ke arah menghampiri zina juga perlu dicegah. Maknanya kita ambil pendekatan yang telah digariskan oleh Allah Taala dalam al-Quran,” ujarnya.
Justeru, pihaknya menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, NGO, institusi pendidikan, media dan masyarakat keseluruhannya untuk berganding bahu menjayakan agenda tersebut tanpa mengira latar belakang politik.
“Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Syu’ara’ ayat 165 dan 166 yang menegur perbuatan yang melampaui batas, inisiatif Pelan Tindakan Komprehensif GTZ 2030 daripada PAS ini adalah satu usaha memulihkan akhlak dan kesihatan.
“(Iaitu ke atas) Masyarakat demi sebuah Negara Rahmah, Ummah Sejahtera menjelang tahun 2030. Dengan iltizam kolektif, kita mampu memerangi HIV/AIDS secara komprehensif dan integratif berteraskan model bio-psiko-sosio-spiritual dan prinsip kawalan dan pencegahan kesihatan universal.
“Marilah berganding bahu demi membina masyarakat yang sihat dan berakhlak, serta negara yang sejahtera dan diberkati Allah SWT,” katanya.
GTZ 2030 menggariskan pendekatan multi-dimensi yang merangkumi pencegahan awal dalam kalangan generasi muda dan komuniti
berisiko seperti golongan LGBTQ, pekerja seks dan penagih dadah dengan penekanan kepada konsep A-B-C-D iaitu ‘Abstinence’, ‘Be Faithful’, ‘Condom’ dan ‘Drug’.
Ia turut merangkumi program pemulihan spiritual dan psikososial menerusi Modul Hijrah dan CITY GTZ ke arah abstinen, perkhidmatan
rawatan bersepadu 3C (Comprehensive, Compassionate, Care) di Klinik HIV/PREP.
Selain kempen advokasi media termasuk usaha membanteras kandungan dan aplikasi siber berunsur seksual berisiko, serta kajian impak dan penilaian kualiti program pencegahan dan perawatan ke arah abstinen. – HARAKAHDAILY 11/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!