Berikan Kedah insentif fiskal RM200 juta

- Advertisement -

ALOR SETAR: Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 secara tidak langsung meletakkan negeri sebagai destinasi pelancongan unggul dan lebih dikenali di peringkat antarabangsa, demikian titah Sultan Kedah sempena Hari Keputeraan Baginda Ke-82.

- Advertisement -

Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah pada majlis Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Justeru baginda menitahkan semua jabatan dan agensi berkaitan bersedia untuk menerima kehadiran pelancong dan memastikan semua kemudahan infrastruktur serta perkhidmatan berada dalam keadaan lengkap dan sempurna.

“Bagi memastikan inisiatif kerajaan ini dapat direalisasikan dengan jayanya, aspek kebersihan dan keindahan perlu sentiasa berada pada tahap terbaik, serta menjadi agenda penting setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Malah beta menyokong langkah proaktif yang digerakkan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menyasarkan Pulau Langkawi sebagai pulau pelancongan yang terbersih di dunia,” titah baginda.

Oleh itu baginda berharap, semua pihak khususnya PBT perlu memastikan kebersihan dan keindahan persekitarannya dijaga dan dipantau dengan lebih efisien agar menjadi sebuah bandar bersih.

Sementara baginda turut menyarankan agar kerajaan negeri dapat memupuk budaya hidup sihat dan persekitaran bersih bagi menjamin kesejahteraan serta kesihatan kepada seluruh rakyat negeri Kedah.

Dalam pada itu, Sultan Kedah dalam titahnya juga mengharapkan keprihatinan Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan dapat meluluskan permintaan insentif fiskal sebanyak RM200 juta kepada Kerajaan Kedah.

Selain baginda berharap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian segera kepada senarai projek pembangunan negeri seperti dibentangkan pada Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah, 4 Mei lalu.

“Menerusi insentif fiskal, program bantuan golongan miskin dapat disediakan termasuk peluang perniagaan dan bantuan pendidikan.

“Selain itu ia juga merupakan satu mekanisme timbal balik, bila mana kerajaan beta perlu mengekalkan 113,000 hektar kawasan penanaman padi yang menyumbang 43 peratus Tahap Sara Diri negara,” titah baginda.

Dalam masa yang sama, baginda  turut menghargai keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan isu kemiskinan tegar di Kedah.

Sehingga kini, titah baginda jumlah miskin tegar di Kedah berjaya dikurangkan sebanyak 77 peratus kepada 404 keluarga berbanding 1,750 keluarga sebelum ini. – HARAKAHDAILY 30/6/2024

- Advertisement -