KOTA BHARU: Keengganan pentadbiran Kerajaan Madani memahami situasi banjir buruk yang melanda, mungkin menyebabkan ribuan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan terganggu emosi.
Tidak mampu menyelami perasaan pelajar juga mungkin menjadi asas kepada keputusan Menteri Pendidikan menunjukkan kedegilan untuk meneruskan peperiksaan SPM sedangkan calon ada yang tertekan.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, 1001 kemungkinan yang boleh ditelah melihat kepada keputusan yang tidak berganjak tersebut.
Kata beliau, kejadian bencana banjir yang melanda pada masa kini bukanlah pilihan manusia, sebaliknya ia adalah bencana tidak dapat dielak dan perlu dihadapi.
“Apa lagi melibatkan kesusahan dan kesibukan membantu urusan keperluan keluarga. Hanya jauhari yang mengenal manikam dan mereka yang pernah merasainya sahaja akan mempu memahami,” katanya.
Tambah beliau, susah dan sukar serta bergelut dengan bencana bukan sesuatu perkara mudah, bahkan tidak mudah dengan menghantar kaunselor bertauliah kerana keletihan berdepan kehidupan seharian yang diuji bencana.
Katanya, apa lagi SPM adalah teras peperiksaan yang akan menentukan dimensi seterusnya pengajian dan ia bukan perkara kecil serta tidak boleh bermudah-mudah.
“Kami Dewan Pemuda PAS Kelantan turut bersolidariti dengan anak muda pelajar SPM 2024 yang terjejas banjir, kini sedang diasak emosi dan fizikal untuk berdepan penentuan masa depan,” katanya lagi.
Menurut beliau, biarpun takdir telah tertulis, tetapi pengurusan kerajaan khususnya Menteri berkaitan ada pilihan meratib ehsan dalam pentadbiran dianggotainya.
“Solidariti juga buat semua guru yang diperah kerjanya memastikan pelajar terkesan yang terpaksa ke sesi peperiksaan walau barangkali buku-buku ulangkaji masih basah lencun dan uniform sekolah dihanyut air bah.
“Semuanya kerana degilnya mereka yang di atas,” tambahnya menyifatkan SPM kali ini berada dalam banjir terburuk 2024, namun Pemuda PAS bersolidariti untuk anak-anak muda harapan bangsa. – HARAKAHDAILY 1/12/2024