‘Memang kita mahu rakyat benci homoseksual’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mempertahankan tindakan memasang papan tanda larangan terhadap amalan homoseksual di beberapa lokasi termasuk berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia sebahagian daripada pendekatan mendidik masyarakat selaras dengan nilai agama dan budaya tempatan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam itu, mesej yang dipaparkan pada papan tanda berkenaan bertujuan membentuk sikap masyarakat agar menjauhi perbuatan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Memang kita mahu rakyat benci kepada perbuatan homoseksual ini. Kita mahu mereka anggap ia kotor, salah dan perlu dijauhi,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurut beliau, usaha menerusi papan tanda itu juga sebahagian daripada inisiatif menyemarakkan syiar Islam di bandar dan kawasan awam.

“Misalnya, untuk papan tanda lain yang memaparkan unsur-unsur memuji Allah SWT, bila orang lalu dan nampak, mereka baca. Kalau hari itu tak sebut ‘Subhanallah’ pun, mungkin dengan tengok papan tanda ini mereka akan sebut,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, papan tanda larangan tersebut dipasang bersebelahan pintu masuk utama UMT, sengaja dipilih kerana tumpuan pelajar dan anak muda yang lebih mudah terdedah kepada pengaruh luar.

“Kita sasarkan kawasan IPT sebab di situ ramai anak muda. Mesej ini penting supaya mereka tidak terjebak dengan perkara-perkara negatif,” ujarnya.

Terdahulu, aktivis transgender, Nisha Ayub, mengecam kewujudan papan tanda tersebut sekali gus menyifatkannya sebagai satu bentuk hasutan kebencian yang berbahaya dan contoh jelas diskriminasi institusi.

Nisha berkata papan tanda seperti itu bukan sahaja menyemai kebencian terhadap golongan minoriti, malah secara tidak langsung menggalakkan perbuatan buli yang boleh membawa kepada keganasan.

Menurut Wan Sukairi, pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kebebasan menentukan bentuk penyampaian mesej yang sesuai mengikut kawasan masing-masing, selagi matlamatnya sejajar dengan dasar negeri.

“Apa yang kita laksanakan ini merupakan inisiatif PBT masing-masing. Di tempat lain mungkin menggunakan perkataan yang berlainan,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -