NIBONG TEBAL: Penduduk Sungai Bakap telah merasa amat kecewa terhadap ADUN Pakatan Harapan (PH) yang mewakili kerajaan kerana gagal menangani masalah bekalan air dihadapi mereka sejak bertahun-tahun.
Sehubungan itu para penduduk yang dibelenggu masalah berlarutan tersebut khususnya dari Taman Seruling dan Taman Widuri telah mewakilkan ADUN pembangkang untuk bersuara bagi pihak mereka kepada Kerajaan Negeri.
ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah mendedahkan, beliau sendiri menerima memorandum diserahkan penduduk di pintu masuk pekarangan Bangunan Dewan Undangan Negeri di Jalan Lebuh Light, George Town pada 30 Mei 2022 dahulu.
“Kenapa mereka serah kepada saya (ADUN pembangkang) dan bukannya kepada wakil rakyat (ADUN Sungai Bakap) mereka daripada PKR (ketika itu)?
“Sudah tentu kerana wakil rakyat tersebut gagal membawa isu ini ke dalam Persidangan DUN,” ujar beliau yang merupakan wakil rakyat tunggal pembangkang daripada PAS ketika itu.
Jelasnya, penduduk mengambil inisiatif serius dengan mengadakan demonstrasi tersebut dan terpaksa meminta kepada beliau membawa suara mereka terhadap permasalahan tersebut bagi dikemukakan ke Persidangan DUN.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu berkata, warga penduduk yang amat kecewa dengan mandat diberikan kepada wakil rakyat PKR selama tiga penggal, namun tetap gagal membawa penyelesaian dan suara kepada kerajaan.
Hinggalah menurutnya, penduduk yang telah hilang kepercayaan kepada ADUN kerajaan, telah mengambil peluang selaku pengundi pada PRN15 pada Ogos tahun lalu mengalihkan sokongan dengan memberi mandat kepada Allahyarham Nor Zamri Latiff.
Ustaz Yusni mengimbas setelah dua hari diumumkan memenangi kerusi DUN Sungai Bakap, Almarhum yang mesra dipanggil Abang Zam telah ke KOMTAR iaitu bangunan pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang membawa isu bekalan air itu.
“Amat sedih, saya bersama Abang Zam dan ADUN pembangkang lain dinafikan peruntukan. Tapi Abang Zam selama sembilan bulan mengambil alih Sungai Bakap, beliau tetap tidak abaikan tanggungjawab diamanahkan,” kenangnya.
Beliau menyatakan rasa terharu dan begitu menghargai usaha Almarhum yang gigih berusaha menyelesaikan berbagai isu komuniti biarpun berdepan pelbagai cabaran besar dan menunjukkan sikap prihatin serta bertindak demi kepentingan warga.
“Saya nak ajak semua pengundi dari pelbagai latarbelakang untuk bersatu demi menyokong calon kita, Abang Abidin sebagai perwakilan yang efektif untuk menangani masalah dihadapi penduduk Sungai Bakap,” serunya. – HARAKAHDAILY 2/6/2024