Malaysia perlu kekal pegang sikap berkecuali

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Malaysia digesa untuk terus berpegang kepada dasar berkecuali dan tidak berpihak dalam menghadapi ketegangan kuasa besar dunia, khususnya antara Amerika Syarikat dan China.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, meskipun Malaysia berdepan tekanan akibat tarif dan dasar ekonomi yang dikenakan oleh negara-negara besar, langkah berhati-hati perlu diambil agar negara tidak dilihat condong kepada mana-mana blok kuasa.

“Malaysia perlu mengambil langkah berhati-hati untuk mengelak daripada dilihat sebagai sebahagian dari blok China. Itu adalah satu perkara yang amat penting.

“Kita tahu tarif yang dikenakan itu menekan kita memang kita tidak bersetuju tapi dalam masa sama di dalam menangani cuba elak daripada Malaysia dilihat sebagai blok China,” katanya dalam satu hantaran di laman media sosial miliknya, hari ini.

Menurut Amzad, kestabilan dan kemakmuran Malaysia banyak bergantung kepada peranan aktif negara dalam Gerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) serta komitmen terhadap prinsip Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN).

“Malaysia perlu memastikan apa yang menjadi faktor penting kestabilan dan kemakmuran Malaysia adalah pendekatan yang diambil melalui peranan aktif Malaysia di dalam NAM dan juga menjadikan rantau ini sebagai rantau yang aman, bebas dan berkecuali ZOPFAN.

“Itu dipertahankan supaya rantau Asia tenggara khususnya Malaysia kekal menjadi laluan utama untuk tujuan perdagangan di peringkat dunia,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian susulan ketegangan semasa antara Amerika Syarikat dan China yang memberi kesan langsung kepada ekonomi global.

Baru-baru ini, Amerika Syarikat mengenakan tarif tambahan terhadap beberapa negara termasuk Malaysia, sebagai sebahagian daripada pendekatan dalam perdagangan.

Dalam masa sama, hubungan Malaysia-China dilihat semakin erat, khususnya selepas lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada 15 April lalu.

Lawatan selama tiga hari itu menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian kerjasama melibatkan bidang perdagangan dan pelaburan

Namun, perkembangan tersebut turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pemerhati antarabangsa bahawa Malaysia mungkin dilihat terlalu cenderung kepada China.

Ia sekali gus boleh menjejaskan hubungan dengan kuasa besar lain termasuk Amerika Syarikat dan rakan dagang dari Barat. – HARAKAHDAILY 7/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -