ADUN Tg Lumpur fokus empat isu penting rakyat

Belanjawan 2021 Pahang dibahas YB Ustaz Rosli Abdul Jabar

- Advertisement -

KUANTAN: Pusat-pusat pendidikan Islam yang tumbuh melibatkan pondok, thurath, tahfiz dan seumpamanya sama ada berdaftar atau tidak adalah selari dengan kecenderungan masyarakat di negeri ini.

- Advertisement -

Ustaz Rosli Abdul Jabar (PAS-Tanjung Lumpur) menegaskan, sistem pendidikan agama di institusi ini bermatlamatkan kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat menerusi membentuk akidah dan membina sahsiah.

“Bantuan-bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan hanyalah kepada sekolah agama yang telah berdaftar, sedangkan banyak juga sekolah agama atau intitusi pengajian ini yang masih belum berdaftar.

“Mereka sedang bergelut mencari dana untuk melengkapkan binaan memenuhi kriteria sebagai intitusi yang akan mendapat kelululusan pihak kerajaan,” ujarnya meminta pihak kerajaan memberi perhatian serius kepada pertumbuhan institusi tersebut.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang berucap membahaskan Belanjawan 2021 Negeri Pahang bertemakan ‘Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama’ pada Sidang DUN Pahang, di sini hari ini.

Menjelaskan kepentingan institusi seumpama itu, beliau memetik kisah rakyat di zaman Saidina Umar yang menunjukkan ketinggian sahsiah dalam melaksanakan perintah Allah dan menjauhi dosa kesan dari ilmu.

Terangnya, bimbingan ilmu sedemikian hanya akan dapat diperolehi dari institusi yang disebutnya itu di mana kini ramai rakyat negeri Pahang dalam kalangan ibu bapa telah memilih menghantar anak mereka ke situ.

Intensif buat golongan B40

Ustaz Rosli dalam perbahasan itu turut menyentuh kepentingan mengambil berat terhadap golongan miskin tegar atau B40 kerana mereka antara bakal menjadi saksi utama kepada di hari akhirat nanti di mana perlu terus untuk diberdayakan.

“i-Suri dan i-Sara adalah antara program terbaik daripada KWSP yang bertujuan untuk membantu golongan ini. Namun nampaknya kurang juga mendapat maklum balas ataupun kesungguhan atau mungkin tidak tahu dari golongan sasar khususnya B40.

“Saya meminta agar semua Wakil-wakil Rakyat mengambil perhatian terhadap kemudahan dan peluang ini, adalah sangat baik. Saya mencadangkan pihak kerajaan mengambil inisiatif dengan memotong bantuan kepada mereka,” ujarnya.

Beliau merujuk kepada Bantuan Am JKM, bantuan kepada peserta e-Kasih selain menambah bantuan bahru sebanyak RM5 sebulan atau RM60 setahun sebagai caruman i-Suri untuk sedikit kemudahan kepada mereka di hari tua.

Pemilikan rumah rakyat dan isu setempat

Beliau juga menghargai usaha membantu rakyat miskin dan berpendapatan rendah menerusi Rumah Mampu Milik di bawah projek PRIMA dan MAKMUR yang membantu kalangan rakyat negeri itu.

Pun begitu, Ustaz Rosli menarik perhatian Dewan untuk mencari penyelesaian terhadap keperluan pemilikan kediaman seumpama kepada pemohon yang tidak memiliki slip gaji dan tanah sendiri bagi pembinaan rumah.

Beliau menyarankan agar perhatian kritikal juga diberikan kepada kawasan berpendudukan padat seperti Tanjung Lumpur dan mencadangkan pengagihan lot tanah untuk membantu penduduk kurang berkemampuan yang memerlukan.

Demikian itu beliau berharap agar Rumah Mesra Rakyat (RMR) dari SPNB dijadikan antara kemudahan buat golongan tersebut sebagai golongan sasar, sama ada membuka tanah secara berkelompok atau diberi lot dengan keluasan memadai.

“Tanjung Lumpur khususnya dijajaran Pantai, setelah terbinanya hotel Kuantan Beach Resort, kelihatan Tanjung Lumpur begitu meriah dengan kehadiran orang luar. Saya turut ke sana bertanya khabar pada orang ramai.

“Mereka suka di situ kerana pemandangan yang cantik, kedai-kedai makan begitu meriah. Namun disana masih ada rumah-rumah usang yang sangat tidak sesuai dengan kedudukan Tanjung Lumpur sebagai pusat pelancongan.

“Ada rumah usang yang masih didiamidi tanah persendirian, kita faham, namun kerajaan perlu mengambil tindakan drastik untuk selesaikan masalah mereka,” hujah beliau memohon inisiatif pihak kerajaan.

Turut dikemukakan beliau adalah keadaan lalu lintas yang semakin sesak dengan tumbuhnya perumahan baharu terutama di jalan Tanjung Lumpur ke Kempadang dan berharap jambatan kedua akan dapat digunakan kelak.

Jelas beliau, ia akan dapat menjadi jalan alternatif dari arah Pekan ke bandar Kuantan, selain turut memohon jejantas antara Kampung Sungai Deraka ke Sekolah Menengah Tanjung Lumpur segera dibina demi keselamatan pelajar. – HARAKAHDAILY 17/11/2020

- Advertisement -