DJZ diingat hentikan ‘hasutan’ isu Jawi

- Advertisement -

PAS Negeri Perak amat bersetuju dengan penegasan dinyatakan Mufti Perak, Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Harussani Zakaria bahawa mempersoalkan hak-hak tulisan Jawi adalah termasuk dalam kecenderungan menghasut. Ia termasuk di bawah Akta Hasutan 1948 lantaran mempersoal perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Angkara dari perbuatan ini, ia boleh mengundang ketidakharmonian dan ketidaktenteraman awam, sekali gus membawa maksud telah mengancam dan mengganggu gugat keamanan dikecapi warga dan negara ini. Bermakna gerakan Dong Jiao Zong tetap berkeras membawa gerakan membantah Jawi adalah pemberontakan dan pelampau yang radikal lagi ekstrem. Selepas dinasihat banyak pihak, Dong Jiao Zong tetap degil.

Usaha murni yang dilaksana melalui pendidikan itu hakikatnya cukup baik demi perpaduan nasional melibatkan penduduk Malaysia dalam latar belakang kepelbagaian kaum dan agama. Namun, amat malang dan sayang sekali apabila Dong Jiao Zong ‘lebih kuah dari sudu’ memikul sentimen politik dan perkauman. Zahirnya, Dong Jiao Zong telah dilihat menyerang umat Melayu selaku penduduk majoriti dan asal pertiwi ini hingga dilihat berniat buruk dan jahat terhadap Jawi.

Kami sepertimana pendirian yang sering dipertegaskan, menyatakan sokongan dan kesediaan bersama dengan mana-mana pihak dalam angkatan mempertahankan tulisan Jawi. Juga seiring dalam menentang pihak yang cuba memburukkan atau menolak tulisan Jawi. Pun begitu kami tetap terbuka mengajak pihak penentang kembali ke pangkal jalan. Mari kita saling tahu menghormati dan menghargai dengan menghentikan semua provokasi ini.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB HAJI RAZMAN ZAKARIA
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak
ADUN Gunung Semanggol – HARAKAHDAILY 4/1/2020

- Advertisement -

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3271757406184714&id=1248217325205409


- Advertisement -