Raja Perlis bangga perkembangan industri harumanis

- Advertisement -

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan rasa bangga terhadap pertumbuhan pesat industri mangga harumanis di negeri ini yang kini melibatkan lebih 2,600 pengusaha dengan keluasan tanaman mencecah 1,745 hektar.

- Advertisement -

Baginda bertitah demikian dalam Majlis Perasmian Festival Industri Mangga dan Pertanian Perlis (PERMAI) 2025 yang berlangsung penuh meriah di Dataran berhampiran Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, malam tadi.

Festival PERMAI yang mula diperkenalkan pada tahun ini merupakan penjenamaan semula gabungan antara Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) serta Festival Mangga Harumanis Perlis.

Ia kini menjadi platform komprehensif untuk mengangkat dan memperkukuh penyertaan peladang, penternak dan nelayan dalam pembangunan sektor agro di negeri Perlis.

Raja Perlis dalam titah perasmiannya menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan semua agensi pelaksana yang terus komited menyokong dan memperkasakan komuniti agro tempatan.

“Saya amat berbangga apabila dimaklumkan bahawa industri harumanis telah berkembang dengan pesat sehingga kini melibatkan lebih 2,600 pengusaha.

“Pencapaian ini bukan sahaja memberi limpahan ekonomi kepada rakyat, malah memperkukuh imej Perlis sebagai negeri pertanian yang dinamik,” titah baginda.

Baginda turut menekankan keperluan mempercepatkan pemodenan sektor pertanian melalui penerapan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan ladang.

“Para petani, penternak dan usahawan tani kini wajar menguasai penggunaan Artificial Intelligence dalam operasi harian contohnya pemantauan kesihatan tanaman, merumput automatik, penyemburan pintar, serta penggunaan dron dan agribot,” titah baginda lagi.

Selain itu, baginda turut menyambut baik pelbagai inisiatif kerajaan seperti Revolusi Industri 4.0, pemodenan sistem pengurusan ladang serta pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) yang menurut baginda adalah penting untuk menjamin keselamatan makanan dan menyumbang kepada kelestarian sektor agro negara.

Dalam konteks Festival PERMAI, baginda menyifatkannya sebagai medan yang bukan sahaja mengiktiraf sumbangan para penggiat agro tetapi juga membuka peluang pasaran yang lebih luas bagi produk tempatan.

Berdasarkan statistik tahun 2023, sektor pertanian menyumbang sebanyak 17.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Perlis, menjadikannya sektor kedua terbesar selepas sektor perkhidmatan.

“Saya ingin menyarankan agar rakyat negeri ini khususnya para petani dapat meningkatkan usaha mempromosi produk-produk dan hasil pertanian supaya terus dikenali, diiktiraf dari segi kualiti serta keunikannya berbanding produk pertanian yang ada di tempat lain,” titah Tuanku.

Festival ini turut menyaksikan penyertaan pelbagai jabatan dan agensi berkaitan termasuk  Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Juga  Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) Lembaga Koko Malaysia (LKTN) dam Agrobank.

Semua agensi ini ujar baginda, memainkan peranan penting dalam mempromosi dan memperkukuh sektor pertanian negeri, khususnya dalam menyokong pelaksanaan program-program pembangunan agro dan keusahawanan tani.

“Saya yakin usaha berterusan untuk memodenkan dan memperkasa sektor ini memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan makanan, memacu ekonomi, mencipta pekerjaan, dan memelihara alam sekitar agar manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat,” titah baginda lagi.

Baginda menzahirkan keyakinan bahawa Festival PERMAI akan menjadi pencetus kepada pertumbuhan ekonomi dan kesinambungan dalam pembangunan pertanian moden negeri. – HARAKAHDAILY 4/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -