PAS tenang soal kuasa, jawatan

PADANG RENGAS: Kegagalan memahami perjuangan PAS yang dipandu oleh wahyu menyebabkan ada pihak berasa gusar apabila kehilangan kuasa, tetapi megah apabila mendapat kuasa, demikian kata Ketua Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria.

Advertisement

Lantaran itulah nasihatnya, setiap ahli dan kepimpinan PAS diingatkan supaya memperkuatkan keyakinan dan memperbaiki hubungan dengan Allah S.W.T dalam memperteguhkan diri menghadapi ujian tersebut.

“Bila kuat pergantungan kita (kepada Allah), (kita yakin) Allah boleh (beri kemenangan) bagai mana cara pun. Sama ada melalui pilihan raya atau tidak melalui pilihan raya. Itu hak Allah,” jelas dalam Liqa’ Fikri anjuran Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Kawasan Padang Rengas di Markas PAS Kawasan, di sini kelmarin dahulu.

Mengulas ayat 26 dari surah Ali Imran, beliau menyebut bahawa Allah boleh memberi kerajaan kepada siapa yang Dia kehendaki dan Allah boleh tarik kerajaan dari siapa Allah Taala kehendaki kerana kerajaan hakikatnya adalah hak milik Allah.

“Walaupun mungkin Dia uji kita dengan (cara) Dia tarik balik (kuasa atau nikmat). Tapi jiwa kita tetap akan tenang. Pasal apa? Pasal hubungan kita dengan Allah Taala baik,” ujar beliau menjelaskan lagi.

Sebaliknya menurut Ustaz Ibrahim, orang yang rosak hubungannya dengan Allah apabila dijangkiti sifat cinta kemegahan dan cinta dunia akan memberontak tatkala nikmat kuasa itu ditarik daripada dirinya.

“Allah yang bagi (kemenangan) kepada kita. Itulah juga Allah yang ambil (kemenangan) daripada kita. Maka kalau kita nak balik, kena mintalah daripada Allah,” ingat beliau sambil mengimbau sejarah kalah menang PAS dalam pilihan raya.

Turut hadir dalam program bulanan itu ialah ahli Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPPK) dan Ahli Jawatankuasa PAS Cawangan serta Kawasan. – HARAKAHDAILY 18/8/2020