Muafakat jamin rakyat hidup harmoni

- Advertisement -

LARUT: Ukhwah silaturahim dan semangat kerjasama yang ditunjukkan warga Persatuan Penduduk Kampung Tersusun Redang Panjang (PP KTRP), di sini wajar dicontohi semua pihak.

- Advertisement -

Setiap program anjuran badan komuniti kampung tersebut berjaya mengumpulkan sekitar 100 penduduk bagi melaksanakan gotong-royong pada hampir setiap kali ia diadakan termasuklah kelmarin dahulu.

Pengerusi PP KRP, Samsudin Abd Rashid berkata, di samping program kemasyarakatan, keselamatan dan kebersihan kampung yang dititikberatkan, mereka turut mengukuhkan hubungan kejiranan agar bertambah harmoni.

“Antara program lain yang turut mendapat sambutan ramai daripada penduduk adalah kuliah pengajian mingguan, ziarah dan program yang bermanfaat secara langsung,” jelas Samsudin lagi.

Beliau turut memaklumkan hasratnya untuk mewujudkan pasukan Bomba Sukarela memandangkan Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia terletak jauh daripada tempat kediaman kampung tersebut yang sudah pastinya diperlukan penduduk.

Sementara itu ADUN Kubu Gajah, Ustaz Khalil Yahaya ketika ditemui berasingan berkata, muafakat yang terbentuk dalam masyarakat majmuk dapat menghasilkan kehidupan sejahtera.

Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Ketua Sekretariat DUN Kubu Gajah, Ustaz Bahtier Muslim yang dalam ucapannya menyebut bahawa pihak ADUN sentiasa memberi sokongan dan berjanji akan membantu seadanya.

“Saya berharap usaha murni seumpama ini dapat diteruskan di masa akan datang dan turut diperbanyak lagi aktiviti yang sekali gus menyatukan semua penduduk,” ujar beliau lagi. – HARAKAHDAILY 12/12/2019

- Advertisement -