Perlis terus unggul sebagai negeri berilmu

Jayakan MTQHK 1446H/2025M dengan cemerlang

- Advertisement -

KANGAR: Perlis terus memperkukuh kedudukannya sebagai ‘Negeri Berilmu’ apabila berjaya menganjurkan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQHK) Tahun 1446 Hijrah bersamaan 2025 Masihi dengan penuh gilang-gemilang.

- Advertisement -

Majlis perasmian penutupan dan pengurniaan hadiah yang berlangsung malam tadi di Dewan 2020, Kangar disempurnakan oleh Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Dalam titah perasmian baginda, Tuanku menzahirkan kesyukuran atas limpahan rahmat Allah SWT serta kejayaan penganjuran majlis yang membawa keberkatan dan menyemarakkan syiar Islam di bumi Perlis.

“Saya amat bersyukur kerana dengan izin dan inayah Allah SWT, dapat saya bersama-sama dalam majlis yang penuh keberkatan ini yang telah berjaya dilangsungkan dengan begitu gemilang di Negeri Perlis,” titah baginda.

Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atas kepercayaan yang diberikan kepada Perlis sebagai tuan rumah MTQHK kali ini.

Titah baginda, MTQHK bukan sekadar satu acara tahunan, tetapi sebuah majlis yang sarat nilai kerohanian, sekaligus menjadi pemangkin kepada masyarakat untuk mendekati, menghayati dan mengamalkan ajaran suci al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Majlis ini menjadi wahana penting dalam membina jaringan ukhuwah dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, serta negeri-negeri lain seluruh Malaysia. Ia membuktikan semangat kebersamaan dalam memartabatkan syiar Islam,” ujar baginda.

Tuanku Raja Perlis turut memuji penglibatan semua pihak termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kerja Raya (JKR), pasukan keselamatan, pasukan kesihatan serta media yang memberikan sokongan padu bagi memastikan kelancaran majlis.

Perlis Negeri Ilmu

Mengangkat tema ilmu sebagai tunjang utama, Tuanku Raja Perlis mengingatkan bahawa Perlis telah lama dikenali sebagai Negeri Ilmu, dan gelaran tersebut harus terus dipelihara dan disuburkan.

“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menyuburkan budaya ilmu dan penghayatannya, dengan meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai paksi utama dalam kehidupan masyarakat,” titah baginda.

Tegas baginda, dalam menghadapi cabaran teknologi, ideologi dan budaya asing, umat Islam perlu terus berpaut teguh kepada wahyu agar tidak tersasar dari jalan yang benar.

“Setiap kita adalah duta al-Quran yang wajib kita zahir dan semarakkan kepada dunia,” titah baginda penuh makna.

Tuanku Raja Perlis turut menzahirkan setinggi-tinggi tahniah kepada para peserta, para pemenang, para hakim serta seluruh jawatankuasa penganjur yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan MTQHK 1446H.

“Semoga majlis ini menjadi titik tolak kepada peningkatan kecintaan umat terhadap al-Quran dan menjadikan kalamullah sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan,” titah baginda.

Majlis MTQHK 1446H/2025M yang diadakan di Perlis telah menyaksikan penyertaan dari seluruh negeri di Malaysia, dan menjadi pentas terbaik dalam melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran bukan sahaja berkualiti dalam bacaan dan hafazan, tetapi juga dalam penghayatan dan pengamalan.

Majlis penutup ini turut diserikan dengan pengurniaan hadiah kepada para pemenang dalam kategori tilawah dan hafazan, diiringi suasana penuh rasa syukur dan keinsafan dalam kalangan hadirin yang memenuhi Dewan 2020. – HARAKAHDAILY 3/5/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -