DAP kepanasan ekoran pendedahan Tun

TUN Dr Mahathir bakal melancarkan buku terbarunya berjudul ‘Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia’, lewat bulan ini.

Advertisement

Belum pun dilancarkan meleleh peluh jantan pimpinan DAP apabila Tun menyelak sedikit antara isi kandungan bukunya itu nanti.

Rupanya Tun turut memilih untuk mendedahkan apa yang berlaku dalam Kerajaan 22 bulan PH khasnya yang melibatkan pimpinan DAP.

Dalam satu portal berita dilaporkan:

“Dr Mahathir Mohamad has singled out a senior DAP man described as a trusted adviser to former finance minister Lim Guan Eng over his unauthorised involvement in government business, saying it showed how some actions had only provided bullets for Umno to exploit racial issues against the Chinese-dominated party.”

Dalam bukunya itu Tun menyebut dari hal kerenah seorang pemimpin kanan DAP yang beliau anggap sebagai penasihat kanan Lim Guan Eng yang ketika itu Menteri Kewangan.

“Ada juga beberapa ketika penasihat ini bercakap secara terbuka bagi pihak kerajaan walaupun tidak mempunyai kebenaran untuk berbuat demikian,”

Tindak tanduknya dakwa Tun telah menjadi peluru buat Umno untuk memainkan isu perkauman terhadap (DAP) parti yang didominasi kaum Cina itu.

Hanya beberapa kerat tulisan Tun didedahkan tetapi Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng terus melompat mempertahankan tindakannya dengan mendakwa Tun punya ‘faulty memory’ atau ingatan yang telah rosak.

Bukankah Tun dulu dinobat sebagai ‘hero’ dan idola DAP dan PH? Hari ini lantaran berkongsi memorinya Tun dilabel sedemikian rupa oleh Guan Eng, kacang lupakan kulit.

Dan tidak cukup dengan serangan Guan Eng seorang lagi pemimpin kanan DAP Tony Pua pula bangkit mempertahankan diri sedang Tun tidak pun menyebut namanya. Beliau mengaku beliaulah penasihat yang dimaksudkan!

Menurut satu laporan Tony berkata:

“Mahathir sepatutnya berbangga dengan kerajaan beliau kerana berjaya melindungi kepentingan rakyat dalam skandal berbilion ringgit dan rekodkan pencapaian beliau itu dalam memorinya.

“Namun beliau pilih untuk tulis perkara yang remeh dan menulis bagaimana beliau dapat ‘menyekat’ seorang Setiausaha politik bawahan dalam kementerian kewangan.”

Kenapa DAP kepanasan sedangkan buku Tun ini belum pun terbit di pasaran? Tindakan Guan Eng dan Tony seolah mahu mempertikaikan hak berkarya Tun, tetapi DAP mendabik dada mereka pejuang hak asasi?

Tunggulah ia keluar di pasaran. Jika fitnah maka samanlah Tun. Pasti rakyat tertunggu-tunggu. Difahamkan banyak lagi pendedahan berkenaan DAP terkandung dalam buku baru Tun itu. Semoga ia tidak menjejaskan harapan DAP di PRN Sarawak nanti.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 8/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100009880363600/posts/1656807654658564/