PAS bukan cemburu, tetapi berpegang pada prinsip

Teguh menolak politik hipokrit

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad menegaskan PAS bukan parti yang cemburu atau gagal untuk ‘move on’, sebaliknya konsisten menolak politik hipokrit dan berpegang teguh kepada prinsip Islam dalam perjuangan politik.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi balas kepada kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyamakan PAS sebagai parti yang tidak mampu ‘move on’ dan cemburu terhadap hubungan Umno-DAP.

“Politik bukan medan menghalalkan apa sahaja demi kuasa. Politik ialah medan untuk mempertahankan prinsip — sesuatu yang PAS tidak pernah kompromi, walau bagaimana getir sekalipun ujian politik yang mendatang,” katanya menerusi satu kenyataan.

PAS tinggalkan DAP kerana prinsip, bukan tunduk tekanan

Menurutnya, yang sebenarnya memutuskan hubungan PAS dan DAP pada tahun 2001 ialah DAP sendiri apabila Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP menarik diri dari Barisan Alternatif (BA) pada 22 September 2001 setelah DAP gagal memaksa PAS menggugurkan perjuangan menegakkan Negara Islam.

Katanya, di bawah kepimpinan bekas Presiden PAS, almarhum Dato’ Fadzil Noor, keputusan jelas dibuat bahawa PAS tidak akan sesekali menggadaikan prinsip Islam hanya kerana desakan DAP dan prinsip menegakkan Negara Islam tetap dipertahankan, walau harga yang dibayar adalah perpecahan gabungan.

“Kita tidak tunduk kepada DAP, apatah lagi menjilat semula ludah kita demi kuasa! Terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) juga berpunca daripada kebencian DAP terhadap perjuangan Islam yang PAS bawa. Bukan lagi rahsia pada 30 April 2014, Pemangku Pengerusi DAP Tan Kok Wai dengan angkuhnya menyatakan bahawa PAS tiada tempat dalam PR jika terus memperjuangkan hudud.

“Lim Guan Eng pula pada 10 Disember 2014 mengugut akan memecahkan PR jika PAS terus membawa usul hudud ke Parlimen. Dan pada 26 Disember 2017, beliau dengan sombong menyatakan bahawa DAP memutuskan hubungan dengan pimpinan PAS selepas pemergian Tuan Guru Nik Aziz. Inilah wajah sebenar DAP, menghina perjuangan Islam PAS tanpa rasa malu,” katanya.

Jelasnya, adalah satu pembohongan besar untuk menuduh PAS kononnya ‘mensucikan’ DAP sedangkan PAS yang membuka pekung sikap anti-Islam DAP ke pengetahuan umum dan tidak akan berhenti menegur walau siapa pun yang bersekongkol dengan musuh prinsip Islam.

“PAS tidak gentar kehilangan rakan politik. Apa yang lebih kami takuti ialah mengkhianati amanah Allah dan umat Islam. Biarlah ditinggal atau ditohmah, asalkan tidak tergelincir dari landasan Islam yang kami pegang sejak mula,” katanya.

Menurut Idris, PAS tidak pernah cemburu dan tidak berdendam tetapi tidak melupakan, malah ketika Umno suatu ketika dahulu menuduh DAP sebagai ancaman terhadap Islam, Melayu dan institusi Raja-raja, kini mereka pula berpeluk mesra dalam kamar politik yang sama.

“Maka soalnya: siapa sebenarnya yang tidak mampu ‘move on’? Siapa yang hari ini sanggup menggadai prinsip demi kelangsungan kuasa? Jika PAS menolak DAP, itu berlandaskan rekod penentangan DAP terhadap pelaksanaan Syariah.

“Kenyataan-kenyataan DAP menyentuh sensitiviti umat Islam, dan kedegilan DAP mempertikaikan perkara-perkara asas Perlembagaan seperti hak keistimewaan Melayu dan institusi Islam.

“Adakah pendirian tegas ini satu bentuk ‘penunggang agama’, atau bukti kesetiaan terhadap prinsip perjuangan?” persoalnya.

Umno yang mensucikan DAP, bukan PAS

Ahli Parlimen Bagan Serai itu berkata, Khaled Nordin cuba memutar sejarah apabila mendakwa PAS yang ‘mensucikan DAP’ melalui kerjasama dahulu, sedangkan kerjasama PAS dengan DAP pada masa lalu adalah bersyarat, penuh peringatan dan ditegur secara terbuka.

“Apabila DAP melanggar sempadan, PAS tegas memutuskan hubungan, walaupun perlu membayar harga politik yang mahal. Sebaliknya hari ini, Umno bersekongkol tanpa teguran, tanpa syarat dan lebih menyedihkan — tanpa prinsip.

“Malah kemenangan di Ayer Kuning dijadikan hujah untuk ‘mensucikan’ DAP dan menghalalkan kerjasama jangka panjang. Apakah politik Melayu-Islam kini diletakkan di bawah tapak kaki kepentingan jangka pendek?” soalnya.

Idris juga membidas sindiran Khaled Nordin yang menyentuh isu berkaitan kenyataan Presiden PAS berhubung ibadah haji dan umrah.

“Saya minta sahabat saya DS Khaled, dengar elok-elok isi kandungan ceramah Tuan Guru Abd Hadi Awang. Sebagai seorang kelulusan undang-undang sewajarnya faham elok-elok bukan macam CT (cybertrooper) PH-UmDAP yang hanya baca tajuk sahaja.

“Saya tidak mahu menghuraikan perkara ini, boleh rujuk banyak tulisan berkenaan dengan perkara ini oleh para ulama lain,” kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.

Mengulas isu kerjasama politik, beliau menegaskan bahawa PAS tidak menolak muafakat, tetapi biarlah muafakat itu diasaskan atas dasar takwa, amanah dan kebenaran.

“Jika muafakat itu dibina atas pengkhianatan terhadap janji politik dahulu, pengabaian terhadap sentimen akar umbi Melayu dan penghalalan musuh prinsip demi kelangsungan, itu bukan muafakat — itu penggadaian,” terangnya.

PAS ‘hold on’ perjuangan Islam

Menurut Idris, PAS tidak perlu ‘move on’ daripada prinsip Islam, sebaliknya akan terus berpegang kepada perjuangan menegakkan Islam dalam ruang demokrasi berlandaskan syura dan akhlak Islam.

“PAS tidak perlu ‘move on’ daripada prinsip Islam. PAS tidak akan menukar arah kerana tekanan atau kecaman. Kami ‘hold on’ kepada perjuangan menegakkan Islam dalam ruang demokrasi, berlandaskan syura dan akhlak Islam.

“Jika itu dilihat sebagai cemburu, maka ketahuilah — kami lebih rela dicemuh kerana berpegang pada prinsip, daripada dipuji kerana menjual maruah perjuangan.

“Kalau umur kita panjang kita akan lihat, nasib yang akan dihadapi oleh Umno apabila mereka berkongkol dengan DAP. Kami sudah ada pengalaman, bagaimana orang Melayu tidak boleh menerima kami waktu kami bersama DAP.

“Jangka pendek ya, tapi jangka panjang tidak. Perkara inilah yang ditanam oleh Umno kepada orang Melayu, sejak negara merdeka. PAS pun mendapat tempias ketika bersama DAP,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian Umno dalam kerusi Parlimen semakin merosot dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) terdahulu, iaitu 78 kerusi pada PRU-13, 54 kerusi (PRU-14) dan 26 kerusi (PRU-15), walaupun ketika itu Umno menolak DAP.

“Mungkin pemimpin Umno hanya memikirkan untung jangka pendek. Boleh jadi Menteri, Menteri Besar, Exco, GLC, ahli majlis, JKK, dapat projek. Jika itu perhitungan maka silakan,” katanya.

Idris turut memetik ayat al-Quran daripada Surah Ali Imran ayat 103 iaitu ‘Berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai.’ – HARAKAHDAILY 3/5/2025

- Advertisement -

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -