KUALA LUMPUR: Kenyataan bakal Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Waltz bahawa HAMAS tidak lagi akan mentadbir Gaza dilihat bakal menjadi penghalang kepada kestabilan di semenanjung itu.
Pensyarah Kanan Program Pengajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Aizat Khairi berkata, ia susulan tindakan menggantikan HAMAS memerlukan mekanisme politik yang kukuh.
“Kenyataan ini mencerminkan pandangan AS yang konservatif terhadap HAMAS sebagai halangan kepada kestabilan di Gaza.
“Namun, tindakan menggantikan HAMAS memerlukan mekanisme politik yang kukuh, melibatkan Pihak Berkuasa Palestin (PA), negara jiran dan sokongan antarabangsa.
“Tanpa pelan transisi yang jelas, ia boleh membawa kepada kekosongan kuasa atau ketidakstabilan politik dalaman di Gaza,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Tambah beliau, pelantikan Donald Trump sebagai Presiden AS berkemungkinan akan memburukkan lagi situasi di Gaza, di samping konflik melibatkan Rusia dan Ukraine.
“Donald Trump cenderung menyokong Israel secara terbuka yang mungkin memburukkan lagi ketegangan di Gaza jika pendirian keras beliau diteruskan.
“Dalam konflik Rusia-Ukraine, fokus Trump terhadap dasar domestik dan hubungannya yang lebih kompleks dengan Rusia berpotensi mengurangkan sokongan AS kepada Ukraine.
“Kedua-dua situasi ini menunjukkan kebarangkalian untuk isu-isu ini bertambah baik di bawah Trump adalah rendah disebabkan tindak-tanduk Trump yang dilihat sebagai ‘double-standard’,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2025