Pasukan khas polis siasat kegiatan gengsterisme

- Advertisement -

IPOH: Polis menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat kegiatan gengsterisme di bandar raya ini seperti didakwa seorang pengguna laman Facebook, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata pasukan itu ditubuhkan bagi mengesahkan kesahihan maklumat yang tular mengenai aktiviti tersebut, yang dikongsi pengguna Facebook bernama Meganathan Nathan itu dan telah mendapat perhatian umum.

- Advertisement -

“Polis memandang serius tentang aduan ini dan mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat dalam perkara ini. 

“Namun orang awam dinasihati agar tidak mendedahkan identiti peribadi dan membuat aduan sulit melalui kaedah tular di media sosial bagi tujuan keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya mengemukakan sebarang aduan atau maklumat melalui saluran yang betul dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-254 2222 atau e-mel kepada Ketua Polis Daerah Ipoh di [email protected].

Katanya maklumat mengenai kegiatan jenayah di bandar raya itu juga boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ipoh melalui e-mel [email protected].

Terdahulu, tular aduan seorang pengguna Facebook dengan mendakwa terdapat kegiatan kumpulan kongsi gelap di Ipoh yang melibatkan golongan remaja dikenali sebagai Thilai Geng 04.

Kumpulan itu dikatakan terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan kegiatan jenayah terancang selain turut didakwa cuba mempengaruhi remaja lain di kawasan sekitar untuk menyertai mereka. – BERNAMA

- Advertisement -