KANGAR: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin menegaskan bahawa selagi umat Islam tidak sepakat menerima politik sebagai sebahagian daripada ajaran Islam, maka sukar untuk mencapai kesatuan.
Kerana itulah menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu, wujud perbezaan pendapat mengenai perkara mana lebih utama antara ibadah seperti mengerjakan haji dengan politik seperti mengundi.
“Kalau ada pandangan yang memisahkan politik daripada Islam, dan dalam masa yang sama ada yang berpegang bahawa Islam itu merangkumi politik, dua kumpulan ini tidak akan dapat disatukan fikrahnya,” tegas beliau.
Menurut beliau, sejak dahulu lagi timbul pandangan sempit bahawa politik itu kotor, manakala Islam itu suci, lalu bersikap memisahkan antara keduanya yang merupakan intipati sekularisme.
“Yang kotor tidak akan jadi bersih, yang bersih akan jadi kotor,” ujarnya merujuk kepada persepsi negatif tersebut terhadap penglibatan politik dalam agama.
Beliau turut menyentuh isu keutamaan antara menunaikan haji dan pilihan raya, dengan merujuk kepada saranan Presiden PAS, Tuan Guru Tan Sri Abdul Hadi Awang agar menangguhkan ibadah haji atau umrah sekiranya bertembung dengan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU).
“Kalau giliran nak pergi haji dah dapat, tapi masa sama ada PRU, kita kena lihat dari sudut keutamaan. Haji hanya wajib sekali seumur hidup dan kalau kita mampu untuk tangguh, maka politik perlu diutamakan kerana ia menentukan kuasa Islam dalam negara,” katanya.
Tuan Guru Hashim menegaskan bahawa isu-isu seperti ini sering menimbulkan kekeliruan kerana melibatkan perbezaan pandangan mazhab atau pendekatan terhadap hukum, namun selagi ia tidak menyentuh perkara pokok, perbezaan itu boleh diterima.
Sebagai contoh, katanya, mazhab Syafie berpendapat batal wuduk jika bersentuhan bukan mahram, tetapi mazhab Hanafi tidak beranggapan demikian.
“Sebab itu orang Malaysia pergi Makkah sembahyang ikut mazhab Hanafi, tetap sah,” jelasnya yang juga berpengalaman memimpin Perlis sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri.
Menurut beliau, pertembungan pandangan ini tidak sepatutnya menjadi halangan untuk umat Islam bersatu.
“Daripada dok berbahas mana lebih utama – haji atau umrah – lebih baik kita bahas bagaimana nak bergabung dengan PAS berbanding bersama DAP,” ujarnya.
Beliau mengimbas kembali pengalaman ketika PAS pernah bekerjasama dengan DAP, menyatakan bahawa meskipun DAP pernah mengangkat konsep pemerintahan Umar Abdul Aziz, namun perjuangan mereka tidak berlandaskan tauhid.
“Mereka main politik juga, tapi politik yang tidak berdasarkan tauhid. Sampai sekarang kita tak mahu bersama mereka,” tegasnya.
Menurut beliau, ahli PAS merasai ketenangan dalam perjuangan kerana mereka tidak berebut jawatan dan kekal berpegang kepada tiga asas utama dalam politik Islam iaitu Tauhid (mengesakan Allah), Risalah (ajaran yang dibawa Rasul) dan Khilafah (melaksanakan hukum Allah).
“Kalau parti kita tidak menuju kepada tauhid, itu tidak betul. Politik mesti berasaskan kepada syariat, walaupun susah, kena buat ikut kemampuan kita,” katanya sambil merujuk kepada sejarah penubuhan PAS pada tahun 1951 yang berasaskan tiga prinsip utama tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa PAS masih membuka ruang usaha perpaduan dalam kalangan umat Islam, termasuk dengan Umno.
“Kita tak pernah putus usaha ke arah perpaduan. Kita berdoa agar terbuka hati pemimpin Umno untuk bersama kita menyelamatkan Islam dan Melayu di tanah air ini,” katanya.
Hashim turut memberi peringatan agar perjuangan politik bukan hanya untuk kemenangan semata-mata, tetapi niat utama adalah untuk menegakkan syariat Allah.
“Ramai yang letak harapan pada perjuangan politik tapi mungkin tersilap langkah, terlepas peluang. Kita kena jelas matlamat. PAS tidak mundur ke belakang, kita sedang bergerak ke depan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekeliruan dalam hukum tidak boleh dijadikan alasan untuk memisahkan agama daripada politik.
“Selagi kita tak sepakat bahawa politik adalah sebahagian daripada Islam, maka pertembungan akan terus berlaku dan sukar untuk kita bersatu,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!