PN bukti peranan PAS merealisasi perpaduan

- Advertisement -

PANDAN: PAS sebagai parti yang telah lama berkecimpung di arena politik tanah air amat komited kepada usaha perpaduan nasional di mana ianya menjadi perkara dasar tercatat dalam Perlembagaan PAS itu sendiri.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Halimah Ali berkata, PAS tidak pernah berpura-pura dalam memperjuangkan hak Islam terhadap rakyat Malaysia dengan mengambil kira Islam dan Melayu sebagai teras negara ini.

Namun dalam agenda perpaduan nasional tegasnya, PAS tidak bercakap kosong atau seperti sembang kedai kopi sebagaimana yang cuba diperlekehkan oleh sesetengah pihak dan golongan tertentu.

“PAS berusaha memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan dalam kalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dan masyarakat yang sihat dan berkebajikan,” ujarnya dipetik dari Perlembagaan PAS.

Beliau mengupas perkara itu dalam program Bicara Rakyat mengupas tajuk “Perpaduan Nasional: Khayalan atau Kenyataan?” di Pusat Tarbiyah Pandan, Pandan Indah, di sini malam tadi.

Terang Dr Halimah, PAS memperjuangkan prinsip asas perpaduan itu hingga membawa kepada terbentuknya Perikatan Nasional bersama parti-parti rakan dan sama sekali tidak meminggirkan sesiapa kepada perkara itu.

Kerana itulah menurut beliau, Perikatan Nasional menjadi penyelamat yang membumi di tanah air ini selepas 22 bulan di bawah pemerintahan Pakatan Harapan menyaksikan Malaysia mengalami pelbagai pergolakan.

Beliau menyingkap sejarah Khilafah Islamiyah dalam mentadbir dunia di masa lalu dengan meletakkan Islam sebagai dasar utama telah mencapai perpaduan hasil penerimaan masyarakat pelbagai agama untuk bersatu di bawah pemerintahan Islam.

“Melihat pegangan agama yang bermacam rupa di tanah air kita hari ini, sememangnya ia bukan satu halangan dalam mewujudkan perpaduan nasional, bahkan menjadi satu tuntutan,” ujarnya memetik seruan lita’arafu dalam ayat 13 surah al-Hujurat.

Jelasnya, daripada seruan Allah S.W.T untuk saling kenal mengenali itulah dapat mengelakkan daripada berlakunya permusuhan dan penentangan sesama manusia meskipun tidak menganuti agama yang sama.

Beliau menyeru seluruh umat Islam di negara ini agar terus menjadi Duta Islam yang proaktif membawa imej Islam supaya dapat diterima oleh semua golongan dan penyatupaduan rakyat Malaysia menjadi satu kenyataan.

Forum yang turut dipanelkan bersama Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahya itu dimoderatorkan oleh Yang DiPertua PAS Pandan, Dato’ Iskandar Abdul Samad. – HARAKAHDAILY 1/10/2020

- Advertisement -