Setelah lebih 100 hari PMX di Putrajaya

- Advertisement -

PENDAHULUAN

Sudah lebih 100 hari Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia. Namun Kabinet Kerajaan Madani pimpinan beliau masih tidak ada halatuju yang jelas dalam menguruskan ekonomi negara yang semakin mencabar. 

Tiada juga formula kukuh untuk meningkatkan pendapatan rakyat, atau membantu rakyat mengharungi kenaikan kos sara hidup yang semakin tidak terkawal seperti yang dijaja ketika berkempen dahulu.

Jangkaan pelbagai pihak mengenai keupayaan luar biasa Anwar dalam menguruskan ekonomi negara sebelum bergelar Perdana Menteri ke-10 (PMX), nampaknya serba meleset.

Idea ekonomi yang paling hebat daripada PMX setakat ini ialah agar pencarum KWSP cuba meminjam duit daripada bank sebagai langkah meringankan beban kos sara hidup yang mereka sedang hadapi. Simpanan KWSP mereka dicadangkan agar dijadikan sebagai cagaran kepada pihak bank.

Rakyat dapat pinjam, KWSP tak perlu keluarkan duit dan bank dapat untung. Wah! Macam syampu Rejoice tiga dalam satu!

Beberapa petunjuk ketara

Masalah ayam dan telur ayam pun masih menjadi cabaran yang teramat besar untuk diselesaikan oleh tiga kementerian Kerajaan Madani. Kementerian Ekonomi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Menurunkan harga minyak?! Lebih baik kita tak payah bermimpi. Harga simen dan besi pula dilaporkan semakin meningkat.

Bursa Malaysia juga tidak memberikan reaksi memberangsangkan sebaik saja Belanjawan Kerajaan Madani dibentangkan oleh PMX di Parlimen.

Bagaimanakah Kerajaan Madani menyelesaikan masalah ini?

Bila tiada pencapaian yang memberangsangkan sepanjang mengemudi Putrajaya setakat ini, Kerajaan Madani mengambil langkah yang dibuat oleh hampir setiap kerajaan gagal di dunia, iaitu cuba menyempitkan setiap ruang kebebasan rakyat untuk bersuara. 

Sebab itulah kita tidak nampak Fahmi Fadzil sebagai seorang yang pro komunikasi walaupun beliau adalah Menteri Komunikasi. Bahkan beliau seringkali kelihatan bangga memaparkan dirinya sebagai seorang regulator komunikasi negara yang anti komunikasi dan anti media sosial.

Tindak tanduk Kerajaan Madani yang semakin tidak popular  di kalangan rakyat pula perlu ditangani melalui siaran media yang diberi ‘solekan kosmetik’ supaya sentiasa kelihatan elok dan bagus. 

Pelantikan Prof. Datuk Dr. Agus Yusoff sebagai Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) adalah langkah tepat PMX untuk menjayakan agenda ini.

Saman menyaman dan mengenakan tindakan undang-undang terhadap setiap gerak geri pihak pembangkang pula semakin menjadi lumrah pada era PMX.  ‘Kemeriahan’ fenomena ini nampaknya seperti baru bermula.  

Sehingga apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas mengenai pendakwaan ke atas beliau adalah satu bentuk penganiayaan Kerajaan Madani ke atas beliau mengguna agensi penguatkuasaan pun, dibuat laporan polis oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan.

Nampaknya Kerajaan Madani hanya memberi tumpuan serius kepada ‘menguruskan persepsi rakyat’ semata-mata. Tidak ada perhatian serius diberikan dalam menyelesaikan masalah rakyat dan negara. 

Mengalihkan isu

Isu sebenar rakyat dan negara cuba dialihkan dengan pelbagai isu yang sengaja dipopularkan.

Antaranya, sesiapa saja yang mengkritik ‘Menu Rahmah’ sering dibesarkan dalam media sebagai tidak bersyukur, sombong, tidak merasai denyut nadi golongan marhaen dan banyak lagi. 

Hakikatnya kerajaan sedang melepaskan diri daripada tanggungjawab mengawal kenaikan kos sara hidup ke bahu pengusaha kedai makan dan peniaga runcit.

Isu rasuah Muhyiddin dan Wan Saiful daripada BERSATU dilambung tinggi oleh Kerajaan Madani. Bukan lagi isu 1MDB atau isu kapal tempur pesisir Malaysia (LCS).

Hakikatnya Kerajaan Madani ingin memberi isyarat jelas kepada Syed Mokhtar Bukhari dan konglomerat negara yang lain agar tidak menyumbang kepada parti pembangkang. Penyumbang dana PKR, DAP dan Umno tidak pernah didedahkan secara umum dan diaibkan sebegini oleh mana-mana parti pemerintah sebelum ini.

Di Terengganu, PH Terengganu membuat laporan polis terhadap Tan Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kerana mengajar agama tanpa tauliah. Mereka membawa naratif  menderhaka kepada Sultan Terengganu kerana tidak taat kepada siaran media YDP Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) baru-baru ini.

Walhal, sudah lebih 40 tahun Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengajar di Masjid Rusila, mengajar Tafsir, Hadis, Tafsir dan Sirah.

Penutup 

Sebelum menjadi Perdana Menteri, Anwar banyak masa untuk berpidato di seluruh negara mengapi-apikan rakyat agar menjatuhkan Kerajaan Tun Mahathir, Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Najib, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Ismail Sabri.

Sekarang sudah jadi PMX. Tibalah masa untuk bekerja kuat untuk rakyat dan negara. Masa mengelamun dan ‘honeymoon’ telah tamat. Bekerjalah untuk membangunkan rakyat dan negara. Cukuplah dengan agenda ‘balas dendam’ kepada setiap pihak yang bersama pembangkang. 

Setahu kita PMX adakah pro-demokrasi, bukan anti-demokrasi.

Namun tindakan politiking melampau seperti yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Madani hanya semakin menjatuhkan kredibiliti PMX di mata rakyat.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
Marang
14 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 14/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -