KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Terengganu yang bertindak memperketat kawalan terhadap penjualan produk vape disifatkan telah mengambil langkah baik dan wajar dicontohi Kerajaan Pusat, kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurutnya, kerajaan negeri itu mengumumkan akan melaksanakan larangan sepenuhnya penjualan produk rokok elektronik (vape) di semua premis perniagaan dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Terengganu berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
“Selain itu, Kedah dan Selangor juga dikhabarkan turut mempertimbangkan untuk memperketatkan kawalan penjualan vape di kawasan PBT masing-masing,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, langkah itu sepatutnya telah lama diambil oleh Kerajaan Campuran pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang lebih mementingkan jumlah hasil cukai vape berbanding kesan membimbangkan terhadap kesihatan fizikal dan mental rakyat, terutamanya anak muda.
“Pengecualian oleh Kerajaan Campuran terhadap sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan peranti pengewapan elektronik (vape) daripada Senarai Racun dalam Jadual Pertama, Akta Racun 1952 [Akta 366], sangat mendukacitakan,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, demi kebaikan dan kesihatan generasi masa depan, kerajaan hari ini sepatutnya meneruskan langkah yang telah diambil oleh kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini.
Katanya, tindakan dibuat oleh kerajaan pimpinan PMX menyebabkan pengguna vape dalam kalangan anak muda dan remaja sekolah semakin bertambah disebabkan akses terhadap produk vape yang semakin mudah.
Tuan Ibrahim berkata, Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) pernah menganggarkan terdapat seramai 1.5 juta pengguna produk vape di Malaysia pada tahun 2022 dan jumlah itu sudah semestinya bertambah setiap tahun.
“Banyak laporan menunjukkan bahawa pengguna vape terdedah kepada risiko penyakit paru-paru iaitu E-Cigarette or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (EVALI).
“Malah, Timbalan Ketua Polis Negara dalam kenyataannya yang terbaru telah menyarankan kerajaan-kerajaan negeri mengambil langkah sewajarnya agar jualan vape diharamkan kerana ia dikaitkan sebagai medium baharu penyeludupan dadah sintetik,” katanya.
Beliau berkata, bahaya vape tidak terhenti setakat itu sahaja apabila pelbagai kejadian seperti pelajar terjatuh dari bumbung dan kanak-kanak mengalami keracunan nikotin telah dilaporkan oleh media massa.
“Jelaslah bahawa vape merupakan ancaman serius yang semakin memudaratkan kesihatan rakyat,” ujarnya yang Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Cheka.
Katanya, kerajaan perlu berani dan tegas menjaga kesihatan generasi muda demi masa depan negara, serta melaksanakan Generational End Game (GEG) jika benar-benar mahu menghentikan masalah vape.
“Kini, terpulang kepada kerajaan pimpinan PMX — mahu laba atau bala,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!