Budi bicara YDPA lantik PM jangan dicabar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-8 oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh dicabar, apatah lagi dipertikai kerana Baginda telah melaksanakan budi bicara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

- Advertisement -

Pensyarah Universiti Malaysia Perlis, Dato’ Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain menegaskan, pelantikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu sudah mematuhi kehendak dan kaedah di bawah Perkara 43(2)(a) mengenai pelantikan Perdana Menteri.

Beliau menegaskan demikian dalam Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN: ‘Pencapaian, Harapan dan Cabaran’ anjuran Pertubuhan Intelektual Negara di Persatuan Alumni UM Club House, Damansara, di sini semalam.

“Maka barang sesiapa yang mempertikainya boleh dianggap mencabar kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta berniat untuk mengancam ketenteraman awam dan mengeruhkan keadaan ekonomi negara,” peringatnya.

Menurut beliau, tohmahan kerajaan pintu belakang atau ‘royal de coup’ merupakan propaganda tidak bertanggungjawab dan perlu dikenakan tindakan tegas oleh penguat kuasa undang-undang ke atas pihak yang mencetuskannya.

Semua pihak ujarnya, harus menginsafi bahawa Kerajaan Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ialah Kerajaan Yang di-Pertuan Agong di mana kuasa eksekutif itu ditadbir oleh Jemaah Menteri.

Terangnya, Jemaah Menteri boleh dilantik dalam kalangan ahli Majlis Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sekali gus amat tidak wajar mempersoalkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri bagi Kerajaan Baginda.

“Dalam sidang Dewan Rakyat yang berakhir pada 27 Ogos 2020, terdapat dua Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat.

“Kelulusan dua Rang Undang-Undang itu bolehlah disifatkan sebagai undi kepercayaan majoriti kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” hujahnya.

Dua Rang undang-Undang (RUU) dimaksudkan beliau itu ialah RUU Perbekalan Tambahan (2019) 2020 pada 12 Ogos 2020 dan RUU Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) pada 17 Ogos 2020.

Dalam pada itu katanya, pemimpin-pemimpin Muafakat Nasional juga telah menyatakan sokongan buat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PRU15.

“Itu menunjukkan sokongan berterusan yang masih diterima oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 2/9/2020

- Advertisement -