PAS Kuantan bersiap tangani trauma pasca banjir

- Advertisement -

KUANTAN: PAS Kawasan Kuantan telah mengadakan kunjungan dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa-mangsa banjir yang masih ramai di Pusat Penempatan Sementara (PPS) pada 7 dan 8 Januari lalu.

Antara PPS tersebut adalah di Kampung Pahang, Penjara Penor, Sekolah Kebangsaan (SK) Ubai, Balai Raya Kampung Semangat, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melati dan SMK Mat Kilau.

Pimpinan PAS Kuantan yang bersama dalam program ini adalah Timbalan Yang Dipertua, Sulaiman Md Derus dan Ketua Ulamak, Ustaz Azhar Jaafar serta Ketua Pemuda, Mohd Khairul Nizam Che Mustofai.

- Advertisement -

Sumbangan diberikan berupa wang tunai, makanan dan minuman, serta keperluan asas diri, bayi dan wanita serta lain-lain yang bertujuan meringankan beban dialami setiap keluarga mangsa banjir kali ini.

Dalam pemerhatian terhadap keadaan banjir melanda, ia sememangnya telah membawa impak besar terhadap mangsa berikutan kerosakan dan kemusnahan harta benda yang ditanggung.

Keadaan di PPS juga jelas menunjukkan semua peringkat umur penduduk daripada bayi hingga warga emas, termasuk mereka yang uzur dan sakit turut terpaksa berpindah keluar dari kediaman masing-masing.

Rata-rata mangsa ditemui turut meluah harapan agar dibantu mereka membersihkan kediaman, bersama permintaan keperluan lain untuk mereka kembali memulakan kehidupan setelah musibah itu.

Sulaiman yang juga Pengarah Khidmat Malaysia Pahang berharap para mangsa tabah di mana mereka mungkin terpaksa berada di PPS sehingga selama seminggu berikutan perkembangan banjir dialami.

Pun begitu katanya, pihak PAS akan berusaha menyampaikan sumbangan yang telah digerakkan di seluruh negeri ini dan khusus untuk Kuantan beliau masih mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak.

Menurut Pengarah JPrD Inderapura, Hashim Mohd Zain pula memberitahu, kebanyakan mangsa pula dikenal pasti adalah dalam kalangan bekerja sendiri dan hilang punca pendapatan ekoran banjir ini.

Sehubungan itu katanya, amat penting sekali bantuan daripada pelbagai pihak dalam meringankan beban mangsa sebagai antara semangat ta’awun dan takaful terhadap ujian ditempuh ketika ini.

Hadir sama adalah Ketua Muslimat, Azizah Ali serta Ketua Penerangan Muslimat, Maskazila Ismail dan segala sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Maybank 5562 2641 1916 atas nama Dana Kebajikan Amal Kuantan. – HARAKAHDAILY 11/1/2021

- Advertisement -