PADANG BESAR: Usaha berterusan memperkenalkan negeri Perlis sebagai hab logistik serantau semakin membuahkan hasil apabila wartawan daripada syarikat media berpengaruh Jepun, Nikkei Asia, melakukan kunjungan kerja ke negeri ini.
Ketua Cawangan Bangkok dan Anchalee, Kosuke Inoue, bersama wartawan TV3/BERNAMA Thailand, Daniya Meringing meninjau sendiri perkembangan projek Perlis Inland Port (PIP) dan potensi pelaburan di kawasan Padang Besar, di sini kelmarin dan semalam.
Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi yang memainkan peranan penting dalam usaha ini berkata, kunjungan berkenaan amat bermakna dalam membuka lebih banyak peluang pelaburan antarabangsa ke negeri Perlis.
“Kita berusaha keras memastikan Perlis Inland Port menjadi realiti dan kunjungan media antarabangsa ini adalah satu petanda positif. Perlis mempunyai potensi besar sebagai pintu masuk utama ke ASEAN dan China melalui rangkaian rel yang kukuh,” katanya kepada Harakahdaily.
Program bermula dengan sesi santai di Warung Bonda 2 Bukit Keteri, di mana para wartawan berpeluang menikmati sarapan pagi sambil mendalami budaya, adat dan agama masyarakat tempatan.
Perbincangan mesra itu membuka ruang kepada pengertian lebih mendalam mengenai keunikan Perlis yang kaya dengan nilai tradisional.
Seusai bersarapan, rombongan dibawa ke tapak projek Perlis Inland Port oleh Zamzuri Abd Rahim, wakil Mutiara Perlis yang juga anak tempatan FELDA Chuping, bagi memberi gambaran lebih jelas mengenai projek berimpak tinggi ini.
Menurut Rushdan, Perlis Inland Port dijangka menjadi pemangkin pembangunan ekonomi bukan sahaja untuk negeri ini, bahkan untuk seluruh wilayah utara Semenanjung Malaysia.
“Projek ini memerlukan sokongan erat daripada Kerajaan Thailand. Alhamdulillah, usaha sedang giat dilakukan untuk mengatur sesi libat urus serta program ‘Town Hall’ di selatan Thailand dalam masa terdekat,” jelasnya.
Beliau turut optimis jaringan rel yang sedang dibangunkan akan menjadi alternatif strategik untuk memperkukuhkan logistik serantau, seterusnya menjamin kestabilan perdagangan di rantau ASEAN dan seterusnya ke China.
Selain lawatan ke tapak projek, para wartawan berkesempatan menyertai Majlis Ramah Mesra anjuran Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025.
Majlis tersebut turut dihadiri pelbagai pihak termasuk pentadbiran negeri, agensi kerajaan, pemain industri dan pemimpin masyarakat.
Rushdan menyifatkan kehadiran media antarabangsa dalam majlis itu sebagai peluang terbaik untuk mempromosikan lagi negeri Perlis kepada dunia.
“Kita mahu dunia melihat Perlis bukan sahaja sebagai negeri kecil, tetapi negeri yang besar potensinya. Dengan kemudahan logistik bertaraf antarabangsa yang bakal dibangunkan, Insya-Allah Perlis akan menjadi pilihan utama pelabur,” ujar beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk agensi kerajaan, pemain industri dan rakyat tempatan yang sentiasa memberikan sokongan.
“Terima kasih kepada semua yang menjayakan lawatan ini. Semoga usaha kita bersama ini akan memberi impak positif kepada negeri Perlis, memperkukuhkan lagi kedudukan kita di persada antarabangsa,” tambahnya.
Perlis Inland Port yang dirancang ini bakal menyediakan perkhidmatan logistik dan pergudangan bertaraf dunia, selain menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan sosial di wilayah utara Semenanjung.
Ia juga dijangka mengurangkan kesesakan di pelabuhan utama negara serta mempercepatkan pengurusan barangan keluar masuk antara Malaysia, Thailand dan negara-negara ASEAN yang lain. – HARAKAHDAILY 29/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!