SEKARANG heboh seluruh negara pasal isu beras tak cukup. Kita melihat gambar, video dan berita tular yang pelik-pelik. Misalnya, dalam keadaan beras tempatan yang sudah dijumpai, tiba-tiba ada video menunjukkan begitu banyak paket beras dikeluarkan daripada lori yang mengalami kemalangan. Dan tiba-tiba Menteri Keterjaminan Makanan dilihat bersama timbunan paket beras.
Menteri, Mohamad Sabu kata bekalan beras mencukupi tetapi dia juga berkata bekalan beras tak mencukupi kerana pembelian panik dan perubahan pembeli beras import dah bertukar ke beras tempatan. Kemudian, kerajaan buat dasar catuan. Ada percanggahan di sini. Kalau bekalan cukup, semua ini tak mungkin berlaku!
Pada 12 Julai 2023, Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM) memohon kerajaan menetapkan kuota belian padi kepada pengilang-pengilang besar. Menurut mereka, ketiadaan kuota belian padi membolehkan kilang-kilang besar yang berkemampuan membeli bekalan tanpa had di kawasan lain dan ini mewujudkan monopoli. Pengilang besar membayar insentif yang tinggi antara RM150-RM200 bagi setiap metrik tan menyebabkan kilang besar berjaya memonopoli hasil daripada bayaran insentif yang tinggi berbanding ditawarkan pengilang kecil. Hanya 10 buah kilang Melayu di negara ini yang masih beroperasi berbanding 103 sebelum ini yang hanya menguasai sekitar 200,000 metrik tan daripada 1.73 juta metrik tan pengeluaran padi setahun iaitu kurang 10 peratus. Ini menyebabkan kilang-kilang kecil semakin ‘lenyap’ disebabkan tidak mampu bersaing dengan kilang-kilang besar.
Monopoli pembelian padi oleh tauke-tauke kapitalis sebenarnya tidak pernah berubah sejak 1950-an. Di negeri jelapang padi pun, sejak dulu lagi tauke kapitalis membolot bekalan beras dan padi dengan memerangkap petani Melayu dengan hutang. Cara yang terkenal ialah sistem ‘padi kunca’. Tauke bukan saja membolot padi tetapi pemasaran beras pun dikuasai kartel mereka. Keadaan ini tak pernah berubah sejak 1950-an kerana tauke kartel kapitalis mahu mempertahankan sumber duit mudah mereka.
Tapi sungguh pelik bin ajaib apabila Menteri Keterjaminan Makanan minta 20 peratus kuota padi dilepaskan oleh pengilang-pengilang tadi kepada BERNAS. Sangat pelik kerana kartel yang tak pernah lepaskan monopoli mereka tiba-tiba sekarang beri sebahagian daripada lubuk emas mereka kepada kerajaan. Langsung tak masuk akal sebab permintaan terhadap beras tempatan begitu tinggi dan tauke-tauke ini tentu untung besar kalau monopoli dikekalkan. Kenapa mereka nak lepaskan kepada kerajaan?
Tanpa memberi penjelasan terperinci, menteri kata kerajaan akan memberikan kuota tambahan ini kepada pemborong-pemborong bumiputera untuk menambah bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) negara. Kerajaan melalui FAMA juga dikatakan akan mengedarkan bekalan beras ke seluruh negara. Ini juga pelik sebab industri pengedaran beras ialah lubuk emas untuk para tauke kerana permintaan beras yang tinggi. Kenapa para kapitalis yang cintakan keuntungan sanggup melepaskan lubuk emas mereka?
Kalau benar kerajaan mahu mengambil alih iaitu:
1) Pengilangan padi kepada beras melalui BERNAS.
2) Pengedaran beras tempatan melalui FAMA.
Adakah kerajaan mengakui bahawa kartel pengilang dan pengedar beras tak boleh pakai? Bukankah kartel ini dah buat kerja ni lebih 60 tahun?
Atau kerajaan mahu mengambil alih perkilangan dan pengedaran beras tempatan? Ini tak mungkin kerana ini ialah lubuk emas para kartel. Paling teruk pun tauke kartel pasti menyerahkan sebahagian operasi tadi kepada kerajaan. Monopoli kekal. Kartel kekal. Cuma pada kali ini monopoli dikongsi oleh kartel dan kerajaan.
Kerajaan mesti memilih salah satu.
1) Pasaran terbuka.
Sama ada memperbaiki rantaian bekalan dengan membuka banyak kilang dan pemborong yang bukan kartel supaya persaingan nanti dapat membaiki pasaran.
2) Monopoli kerajaan.
Oleh sebab sudah ke sekian kalinya, kartel pengilang dan pemborong gagal menyelesaikan isu bekalan beras. Daripada berharap kepada mereka, lebih baik kerajaan membolot semuanya.
Jangan sampai pihak kerajaan bersekongkol pula dengan kartel. Ini ialah anggapan kebanyakan orang Melayu!
YB WAN AHMAD FAYHSAL – HARAKAHDAILY 25/9/2023
Sumber Asal: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02YF2BzHGRm8NQ15rkTkSRAcC7c9v4oEZFChiPjwVXdAqHn2DDBctNJh5FyNYAHwskl&id=100054056748124&mibextid=Nif5oz
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.