Mengubah persepsi rakyat terhadap politik

- Advertisement -

MEMANG tidak dapat dinafikan terdapat anggota masyarakat hari ini yang menganggap politik Malaysia amat memualkan. Mereka mengikuti perkembangan politik semasa tetapi mereka tidak kagum dengan apa yang mereka lihat. Malah ada yang membenci politik dan sekali gus turut membenci ahli-ahli politik sama ada kerajaan atau pembangkang. Mereka ini tidak berparti dan sentiasa menyalahkan kedua-dua pihak di atas segala masalah yang menimpa negara. Ada pula yang menganggap diri mereka bermoral tinggi kerana tidak terlibat dengan politik. Kumpulan ini bukan kecil dan ada pula yang agresif serta berupaya mempengaruhi masyarakat.

Bagi kita yang sentiasa bersama rakyat yang tidak partisan kepada mana-mana parti politik sudah tentu akan bertemu dengan mereka sepanjang masa. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana terdapat ahli-ahli politik yang kelihatan tidak prihatin terhadap masalah dan kebajikan rakyat. Hanya mementingkan cita-cita politik masing-masing dan berbalah secara terbuka ketika rakyat berjuang menentang pandemik COVID-19. Tumbangnya Kerajaan Perikatan Nasional dan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka membantu membentuk persepsi buruk seperti ini.

- Advertisement -

Tambahan pula terdapat pimpinan politik yang kurang cermat dan berhati-hati di dalam tindakan mereka. Mereka tidak boleh menyamakan diri mereka seperti orang biasa. Perkara-perkara yang dilakukan oleh orang biasa tidak semestinya boleh dilakukan oleh pemimpin politik tanpa mengundang komen-komen yang negatif. Kadang-kala perkara-perkara tersebut tidak salah dari undang-undang atau moral tapi boleh mendedahkan mereka kepada kecaman. Perkara-perkara kecil yang dipos ke dalam Instagram, TikTok atau Facebook seperti seperti makanan yang dinikmati, barang-barang yang dibeli atau tempat yang dilawati boleh mencetuskan kontroversi yang akan mencalarkan imej.

Oleh yang demikian, PAS memiliki tugas penting untuk membentuk semula persepsi rakyat terhadap politik negara. Sebagai jemaah Islam, PAS memiliki tugas dan tanggungjawab untuk memberi kefahaman baharu kepada rakyat. PAS bukan sekadar sebuah parti politik tetapi juga sebuah jemaah Islam yang memiliki pelbagai sasaran yang merangkumi segala aspek kehidupan sepertimana Islam yang merangkumi segala aspek kehidupan seorang insan.

Tugas PAS adalah untuk meyakinkan rakyat bahawa politik tidak semuanya kotor tetapi ia juga adalah satu usaha murni untuk memperjuangkan nasib rakyat di samping mendaulatkan Islam. Mereka yang tidak mengambil tahu mengenai perkembangan politik sehingga tidak mahu mengundi, pada hakikatnya telah membiarkan orang lain menentukan hal-ehwal negara walhal mereka sekadar boleh bersuara di tepi gelanggang sahaja. 

Membentuk persepsi baharu ini bukan satu tugas yang mudah. PAS tidak menguasai media sosial yang membuat tugas tersebut semakin mencabar. Walau bagaimanapun salah satu cara yang berkesan adalah dengan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat. Ingat, rakyat sentiasa memerhatikan PAS, sama ada gerak kerja, program, akhlak malah media sosial. 

Majoriti rakyat tidak membaca Harakah atau membaca kenyataan pimpinan PAS tetapi mereka membaca pimpinan dan ahli-ahli PAS. Dari pimpinan hingga kepada ahli-ahli biasa, kesemuanya berada di bawah mikroskop. Tidak ada perkara yang dapat disembunyikan di dalam dunia tanpa sempadan yang dipengaruhi oleh media sosial. Mereka mesti menunjukkan bahawa mereka adalah berbeza dari orang lain.

Di dalam hal ini, PAS di peringkat akar umbi mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar. Cawangan-cawangan PAS boleh mengubah persepsi masyarakat terhadap politik. Tidak susah untuk menjadikan diri kita seorang yang baik. Tetapi jika kita mahu mengubah masyarakat, tidak memadai hanya diri kita atau keluarga kita menjadi baik. Setiap anggota masyarakat perlu dibawa ke arah kebaikan. Mengubah orang lain merupakan cabaran yang lebih besar dari mengubah diri kita sendiri. Justeru itu, tidak memadai sebuah Cawangan hanya menumpukan aktiviti  mereka kepada ahli-ahli sahaja tetapi perlu meluaskan skop mereka.

Kehadiran mereka perlu memberikan manfaat kepada rakyat. Satu keadaan di mana rakyat bersyukur dengan kehadiran Cawangan-cawangan tersebut perlu diwujudkan. Sama ada melalui program-program kemasyarakatan, kebajikan, dakwah, pendidikan dan banyak lagi perlu diusahakan dari masa ke semasa. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Cawangan perlu menjadi tempat rujukan masyarakat. Mereka perlu sentiasa berada di hadapan. Mereka perlu menjadi contoh yang baik kepada orang ramai. Amalan-amalan yang baik itu lebih memberi kesan dari seribu perkataan. Akhlak yang terpuji itu lebih memikat dari hujah yang berjela-jela.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 20/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4784994794852813/

- Advertisement -