SUNGAI PETANI: Kerajaan Negeri Kedah bersedia mengikuti jejak langkah Kerajaan Negeri Terengganu menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik (vape) di semua premis di negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, kerajaan negeri akan membincangkan saranan mengharamkan penjualan vape pada mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang terdekat.
“Kerajaan negeri turut mengambil maklum, mengenai bahaya vape yang lebih buruk berbanding rokok, termasuk juga ada dakwaan ia mengandungi bahan kimia berbahaya dan dadah jenis ‘mushroom’,” katanya.
Terdahulu, beliau yang ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Akademi Darul Ilmi (ADI) di Dewan Utama ADI, juga memaklumkan,
kerajaan negeri akan mencari jalan terbaik menangani isu berkaitan vape demi melindungi kesejahteraan generasi muda di negeri ini.
“Kalau boleh kita pun nak ikut macam Terengganu. Vape ini sangat bahaya. Kita akan bincang perkara ini dan buat keputusan terbaik demi anak-anak kita,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah memaklumkan, negeri itu akan melaksanakan larangan penjualan vape di semua premis perniagaan dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkuat kuasa mulai 1 Ogos depan.
Beliau berkata, perkara tersebut diputuskan dan dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada 23 April lalu.
“Beberapa keputusan telah dipersetujui seperti kerajaan negeri kekalkan dasar sedia ada dengan tidak meluluskan lesen perniagaan kepada mana-mana premis yang menjual produk rokok elektronik atau vape, selaras dengan Undang-Undang Kecil yang berkuat kuasa di setiap PBT,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 29/4/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!