Sambutan Tahun Baharu Cina PAS Johor meriah

- Advertisement -

PAGOH: PAS Negeri Johor telah mengadakan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dalam meraikan masyarakat Tionghua sempena perayaan itu yang dilangsungkan di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Pasir, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Program di bawah kendalian Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) ini merupakan satu usaha PAS Johor dalam menjalin hubungan dengan masyarakat Tionghua serta menyemarakkan keharmonian kaum yang suatu ketika cuba dirosakkan pihak yang ekstrem.

Pengerusi LPN PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, program mendekati masyarakat kaum Tionghua perlu dibanyakkan terutama menerusi perayaan kaum agar dapat membina keyakinan mereka terhadap PAS yang dipudarkan oleh pihak tertentu.

“Kita perlu gerakkan pelbagai usaha untuk meyakinkan seluruh masyarakat bahawa PAS adalah parti untuk semua kaum. Hari ini nyata diperlihatkan bahawa masyarakat Cina telah kembali merapati PAS, tetapi ia perlu diperluas dan digiatkan lagi,” ujarnya.

Pada majlis ini, Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Abdullah Husin menyentuh mengenai kepentingan rakyat Malaysia bersama Muafakat Nasional sebagai masyarakat yang bekerjasama untuk masa depan.

“PAS telah berjaya membuktikan di Kelantan selama 30 tahun memerintah di sana dengan penuh keadilan dalam pemerintahannya dan ianya akan terus dipertahankan bersama Muafakat Nasional,” ujar beliau.

Majlis anjuran dengan kerjasama Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Johor, PAS Kawasan Pagoh, Muar, Bakri dan Ledang serta Pejabat ADUN Bukit Pasir telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat Cina tempatan.

PAS Johor juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada MACMA daerah Muar terutamanya kepada Pengerusi MACMA Muar, Adam Chu dan Penaung MACMA Muar, Edi Tan yang telah banyak membantu bagi menjayakan majlis ini.

Turut hadir memeriahkan program ini adalah Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Johor iaitu Dr Mazri Yahya dan Roslan Nikmat, serta ADUN Bukit Pasir, Kapt (B) Najib Lep dan Ketua Pemuda PAS Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz dan Ketua Ulamak PAS Johor, Ustaz Azlisham Azahar.

Hadir sama kepimpinan Umno diwakili oleh Ketua Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad bersama jawatankuasanya, manakala MCA diwakili oleh Ketua Pemuda Johor, Ling Tian Soon dan Setiausaha Bahagian Pagoh, Chen Swee King, selain kepimpinan MIC. – HARAKAHDAILY 9/2/2020

- Advertisement -