10,000 hadir Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di PD

Suasana meriah Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat
- Advertisement -

PORT DICKSON: Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat di Dewan The Grand, Lukut, di sini hari ini dihadiri kira-kira 10,000 orang dari seluruh negara, merangkumi pelbagai kaum selain kehadiran beberapa wakil kedutaan asing.

Wakil kedutaan asing itu adalah dari lapan negara iaitu Palestin, Iran, China, Singapura, Belanda, Nepal, India dan Australia.

Rumah terbuka kali ini yang diadakan buat kali pertama di Negeri Sembilan bertujuan mengukuhkan ukhuwah, merapatkan perpaduan, menggerakkan kekuatan dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) serta meraikan jentera pilihan raya yang bertugas di Ayer Kuning.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa, dalam ucapan aluannya, menzahirkan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah atas limpahan kurniaan-Nya kerana dapat bersama-sama mengadakan majlis itu yang dirancang lebih dua bulan lalu.

“(Ia) merupakan julung-julung kali diadakan di Negeri Sembilan dan alhamdulillah telah memberikan kesempatan dan juga dapat kita mengadakan majlis dengan jayanya pada hari ini hasil daripada tungkus-lumusnya kepimpinan di peringkat PAS Pusat dan juga seluruh kepimpinan PAS di peringkat Negeri Sembilan dan juga ahli-ahli kita.

“Alhamdulillah sejak dua tiga hari yang lepas kita telah pun merewang ataupun bergotong-royong untuk menjayakan majlis pada hari ini dan hari ini adalah hari untuk kita menjamu dan meraikan rakyat di seluruh bukan hanya waris-waris Negeri Sembilan tetapi di seluruh negara,” katanya.

Turut hadir, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Hashim Jasin; Timbalan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Timbalan Presiden Bersatu, Dato Seri Hamzah Zainuddin; Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Malaysian Indian Peoples Party (MIPP), P Punithan; Naib Presiden PAS, Dato Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Parti Berjasa, Ustaz Zamani Ibrahim.

Takiyuddin dalam ucapannya menghargai dan berterima kasih kepada PAS serta PN Negeri Sembilan kerana berjaya menghimpunkan hampir 10,000 rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama dalam majlis itu.

“Saya nak sebutkan bahawa amalan kita di dalam PAS, apa saja program besar yang kita adakan adalah berdasarkan kepada konsep kerjasama ataupun ta’awun ataupun gotong-royong di kalangan seluruh negeri-negeri di seluruh negara ini yang mempunyai organisasi PAS,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim dalam ucapan perasmiannya berkata, Malaysia mempunyai tradisi rumah terbuka yang diadakan hampir sepanjang bulan Syawal.

“Hari ni pun dah penghujung bulan Syawal. Masih banyak lagi sambutan-sambutan diadakan tujuannya tidak lain tidak bukan untuk mengeratkan silaturahim di kalangan kita.

“Sebenarnya bentuk sambutan perayaan Aidilfitri telah pun bertukar sedikit demi sedikit daripada kita merayakan di rumah rakan-rakan kita, rumah jiran-jiran kita hari ni dah bertukar kepada sambutan yang diadakan secara kelompok.

“Sama ada di peringkat parti-parti politik, taman-taman perumahan, masjid-masjid, surau-surau dan jabatan-jabatan kerajaan. Hampir semua institusi mengadakan rumah terbuka.

“Secara tidak langsung dia sebenarnya telah pun mengalih modul sambutan yang biasa kita ziarah rumah sahabat-sahabat kita, rumah jiran tetangga kita kepada satu modul baru kita berjumpa dalam majlis lebih besar. Tentulah matlamatnya ialah untuk mengeratkan silaturrahim di kalangan kita,” jelasnya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut menyampaikan salam Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kepada semua yang hadir pada majlis itu.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan salam Tuan Guru Presiden yang tidak dapat bersama kita pada pagi ini.

“Walau bagaimanapun kita doakan Tuan Guru Presiden kita terus diberi kesihatan oleh Allah SWT memimpin, menerajui bukan sahaja PAS, tapi menjadi komponen penting dalam Perikatan Nasional dalam kita menuju menggerakkan kekuatan Perikatan Nasional menghadapi pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Beliau juga berkata bahawa secara kebiasaannya, PAS akan buat rumah terbuka di negeri-negeri yang dimenangi, namun berbeza kali ini di Negeri Sembilan.

“Kenapa jamuan raya buat di Port Dickson (PD)? Biasa kita buat tempat negeri-negeri kita menang. Tapi kali ni negeri yang (kita) akan menang.

“PD ni kita punya result bagus pilihan raya dulu dia pencapaian yang agak luar biasa. Kita menang lima DUN. Kita ada peningkatan tiga (daripada PAS) dengan dua daripada BERSATU ada lima DUN. Jadi ini penghargaan kepada PD lah,” jelasnya dalam sidang media.

Majlis itu diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid Shoutul Amal serta persembahan kebudayaan warisan tradisional Negeri Sembilan, iaitu pasukan Cak Lempong Negeri Sembilan yang dimainkan lima pemain daripada satu keluarga secara turun-temurun.

Selain itu, antara makanan tradisional yang dihidangkan adalah Gulai Lompap iaitu daripada daging lembu yang dimasak dengan adunan rempah ratus yang istimewa.

Begitu juga, duit raya diberikan kepada semua hadirin berumur 12 tahun ke bawah menerusi sedikit aktiviti seperti teka-teki sebelum menerima duit raya.

Majlis tersebut berakhir dengan cabutan bertuah yang diadakan untuk kalangan Ahli Jawatankuasa dan petugas Rumah Terbuka itu, dengan pelbagai hadiah menarik diberikan. – HARAKAHDAILY 27/4/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!